Thursday, November 14, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    KSSUP anjur Lawatan Suai Kenal

    Oleh: Nurdiyanah R.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meletakkan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi utama untuk pelancongan Islam, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan, dengan kerjasama syarikat penerbangan, ejen pelancongan dan hotel, menganjurkan Lawatan Suai Kenal bagi ejen pelancongan pakar dalam pelancongan Islam dan Muslim.

    Sehubungan itu, Brunei baru-baru ini telah mengalu-alukan 16 ejen pelancongan dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand. Lawatan tersebut bertepatan dengan sambutan Maulidur Rasul, membolehkan para peserta merasai sendiri kekayaan warisan Islam di negara ini.

    Sambutan alu-aluan khas untuk ejen pelancongan antarabangsa telah diadakan, yang memberikan peluang kepada ejen untuk bertemu dengan pihak berkepentingan utama tempatan dalam industri, termasuk wakil daripada Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, hotel dan pengendali pelancongan tempatan.

    Sepanjang penginapan mereka, ejen pelancongan terlibat dalam beberapa siri aktiviti yang mempamerkan budaya Islam Brunei. Ini adalah termasuk lawatan ke masjid dan menyertai majlis dikir yang diadakan selama 12 malam berturut-turut bagi memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

    Ejen-ejen tersebut turut mengambil bahagian dalam perarakan Maulidur Rasul di ibu negara, menyertai ribuan rakyat tempatan, termasuk kerabat diraja, dalam satu sambutan yang besar.

    Lawatan tersebut juga menampilkan mercu tanda Islam yang penting seperti Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), di mana para peserta berpeluang untuk melawat Pameran Akidah dan Taqwa di BKISHHB dan terlibat dalam aktiviti hands-on di Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB).

    Di samping tumpuan mereka kepada aktiviti Islam, ejen-ejen tersebut berpeluang menerokai kekayaan budaya dan warisan semula jadi negara ini merangkumi lawatan ke Taman Negara Ulu Temburong, Kampong Ayer dan Lamin Warisan, sambil menikmati masakan tempatan asli.

    Menurut salah satu ejen yang mengambil bahagian, BKISHHB adalah khazanah yang tidak ternilai, memberikan gambaran mendalam tentang kedalaman sejarah dan budaya Islam. Suasana damai di negara ini membawa ketenangan kepada minda dan jiwa.

    Mereka juga amat kagum dengan perpaduan rakyat, terutamanya kemegahan dan kegembiraan yang disambut dengan perayaan-perayaan Islam seperti Maulidur Rasul. Di samping itu, ejen memuji masakan tempatan dan mengagumi kebersihan negara.

    Lawatan itu bertujuan untuk meningkatkan profil negara ini sebagai destinasi pelancongan Islam terkemuka dengan menawarkan pemahaman menyeluruh tentang warisan Islam negara, pengalaman budaya dan mercu tanda keagamaan.

    Dilengkapi dengan pandangan seumpama itu, ejen berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengatur pakej pelancongan yang unik dan memperkayakan rohani untuk pelanggan mereka, seterusnya menguatkan tarikan negara ini kepada pengembara Islam.

    Serentak dengan itu, Majlis Ilmu 2024 sedang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas. Acara ini berfungsi sebagai medan yang sangat baik untuk menarik pasaran Islam, menonjolkan Negara Brunei Darussalam sebagai pusat pemulihan rohani dan hab Islam untuk pengetahuan.

    Menyedari potensinya sebagai tarikan pelancong, Jabatan Kemajuan Pelancongan berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi mengintegrasikan Majlis Ilmu ke dalam program pelancongan.

    Atas dan bawah: Para ejen pelancongan bergambar ramai semasa mengdakan lawatan ke negara ini. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KSSUP

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda