Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    KSSUP usaha tingkat jumlah ketibaan pelancong

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Susulan pelonggaran beberapa sekatan dan pengawalan bagi membendung penularan COVID-19 pada 2022, jumlah ketibaan pelancong melalui udara ke Brunei telah mencatatkan peningkatan yang signifikan berbanding 2021.

    Jumlah ketibaan pelancong melalui udara pada 2022 ialah seramai 35,701 orang berbanding seramai 3,543 orang pada 2021, jelas Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam ucapan alu-aluannya pada Sesi Muzakarah Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, hari ini.

    Yang Berhormat Dato berkata, fokus kementerian tertumpu pada usaha-usaha mendukung pemajuan dan pembangunan industri pelancongan negara di samping pembangunan, pengukuhan serta mempromosikan produk pelancongan berteraskan kebudayaan, pengembaraan atau aktiviti lasak serta alam semula jadi.

    Selain itu, katanya, kualiti infrastruktur dan pemberian perkhidmatan pelancongan akan terus dipertingkatkan bagi menarik serta meningkatkan jumlah pelancong ke Brunei.

    Menurutnya lagi, kementeriannya melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan akan terus mengukuhkan perancangan dan pelaksanaan program dan inisiatif ke arah meningkatkan jumlah ketibaan pelancong menerusi program, inisiatif dan acara sedia ada seperti Festival Disember Brunei, Kenali Negara Kitani dan MYCE.

    Sementara itu, usaha mengukuhkan produk serta pakej pelancongan yang ditawarkan di keempat-empat daerah, pengendalian latihan dan bengkel bagi meningkatkan kapasiti serta pengetahuan pemandu pelancong termasuk penyelia premis perkhidmatan pelancongan turut diteruskan.

    Ia adalah bagi memastikan kemudahan, infrastruktur dan perkhidmatan yang disediakan, memenuhi jangkaan pengunjung dari aspek kualiti, keselamatan dan kebersihan.

    Terdahulu, Yang Berhormat Dato menerangkan fokus kementeriannya juga menumpu pada usaha-usaha memenuhi keperluan serta kepentingan pembangunan dan pemuliharaan sumber hutan.

    Dalam perkara itu, beliau berkata, Jabatan Perhutanan akan memastikan usaha dalam membangun, melindungi serta memulihara sumber hutan negara akan dilaksanakan secara berterusan agar aktiviti pembangunan selaras dengan konteks pembangunan yang mampan.

    Pada masa yang sama, ia juga adalah bagi mendukung pelaksanaan inisiatif protokol hijau di bawah Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ulasnya lagi.

    KSSUP terus dukung pembangunan industri pelancongan negara dengan mempromosikan produk pelancongan berteraskan kebudayaan, pengembaraan dan alam semula jadi.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...