Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kukuh perhubungan berdaya tahan capai keamanan

    Oleh Syahmi Hasssan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah menghadiri mesyuarat tahunan Forum Parlimen Asia Pasifik (APPF) ke-31 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Republik Filipina pada 23 November hingga kelmarin (26 November).

    Rombongan telah diketuai oleh ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan disertai enam orang ahli MMN dan beberapa orang pegawai dari Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat. Mesyuarat juga telah dihadiri oleh perwakilan-perwakilan dari 18 buah negara lain.

    Presiden Senat Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Juan Miguel F Zubiri dalam ucapannya semasa Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Tahunan APPF ke-31 telah menekankan kepentingan dalam mengukuhkan perhubungan yang berdaya tahan bagi mencapai keamanan, kemakmuran dan kelestarian pada era pasca pandemik COVID dan ke arah menjadikan abad ke-21 sebagai abad milik rantau Asia Pasifik.

    Ahli-ahli parlimen digesa agar sentiasa berazam dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang untuk terus melangkah ke hadapan selaras dengan tema mesyuarat.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, semasa Sidang Pleno bagi Politik dan Keselamatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi antara lain mengongsikan usaha serta inisiatif Negara Brunei Darussalam dalam membanteras jenayah rentas sempadan termasuk dalam anti-pengganasan, pembersihan wang haram dan keselamatan siber.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bersama perwakilan APPF bergambar ramai.
    – GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT
    GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT

    Usaha-usaha tersebut melibatkan kerjasama rapat antara negara sahabat dalam memastikan tindak balas yang selaras.

    Dalam mencapai pembangunan yang mampan, ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin dalam kenyataannya pada sidang mesyuarat telah menyentuh mengenai kepentingan membangun infrastruktur kritikal yang berdaya tahan dan memupuk teknologi inovatif bagi menyokong aktiviti-aktiviti ekonomi selaras dengan usaha dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Penglibatan belia di Brunei Darussalam juga digariskan dalam usaha Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui penggunaan teknologi pada masa ini.

    Dalam mengongsikan mengenai Perlindungan Kesihatan Sejagat (UHC), Brunei terus komited dalam mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan utama.

    Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusuf menyatakan bahawa negara sentiasa memastikan penyediaan liputan kesihatan sejagat serta memastikan penjagaan kesihatan yang boleh diakses dan saksama kepada semua.

    Di samping itu, keperluan penglibatan wanita ke arah mencapai SDG turut ditekankan semasa persidangan di bawah agenda Women Parliamentarians.

    Ahli MMN, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin telah mengongsikan inisiatif-inisiatif negara dalam pemer-kasaan wanita termasuk Pelan Tindakan Negara bagi Wanita.

    Mesyuarat telah meluluskan satu kenyataan bersama secara sebulat suara. Sebanyak 10 resolusi diluluskan, yang jelas menunjukkan komitmen negara-negara ahli APPF dalam mengukuhkan kerjasama parlimen serantau dalam isu-isu berkepentingan bersama.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...