Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kyrgyzstan serbu pejabat berita 24.KG

    BISHKEK, 15 JAN – Kyrgyzstan hari ini telah melancarkan serbuan ke atas sebuah pejabat salah satu saluran berita swasta terbesarnya dan membawa editornya untuk disoal siasat, satu tindakan yang dikatakan ‘membimbangkan’ oleh kumpulan hak asasi manusia dan wartawan.

    Pasukan keselamatan yang memakai topeng dan topi besbol kelihatan memasuki bangunan 24.KG di ibu negara, Bishkek, sebelum membawa kakitangan ke dalam van tanpa penanda, rakaman media sosial menunjukkan.

    Agensi berkenaan menghadapi tuduhan jenayah berhubung artikel yang didakwa diterbitkan mengenai perang di Ukraine, kata ketua editor, Mahinur Niyazova, sebelum dia ditarik masuk ke dalam van.

    “Perkembangan yang membimbangkan. Perkhidmatan keselamatan menutup pejabat,” kata wartawan RFE/RL, Kubat Kasymbekov di media sosial, sambil menambah bahawa pengarah besar 24.KG, Asel Otorbaeva turut ditahan.

    Kyrgyzstan, bekas republik Soviet yang dahulunya menikmati lebih banyak kebebasan politik berbanding negara Asia Tengah yang lain, telah menyaksikan tindakan keras yang semakin meluas ke atas akhbar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Saluran bebas Kloop Media dan Radio Azattyk yang dibiayai Amerika Syarikat kedua-duanya menghadapi saman kerajaan tahun lalu, menyebabkan Kyrgyzstan turun 50 tempat dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia.

    Serbuan ke atas 24.KG itu dilakukan empat hari selepas pegawai keselamatan menahan puluhan orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktivis pembangkang dalam buangan Tilekmat Kurenov dan ahli perniagaan Imamidin Tashov.

    Perkongsian Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia, sebuah kumpulan hak asasi yang berpangkalan di Brussels, menyifatkan serbuan ke atas pejabat 24.KG sebagai ‘perkembangan yang sangat membimbangkan’. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...