Tuesday, November 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ladang pintar, Metrosfarm jadi talian hayat, peluang kedua buat gelandangan

    SEPANG – Secebis peluang yang diberikan pengusaha ladang pertanian pintar, Metrosfarm di sini, membawa sejuta makna kepada rakan jalanan (gelandangan), Izuddin Mastuki, 41, yang sebelum ini bergelumang dengan jenayah, untuk kembali ke pangkal jalan dengan menggunakan kudrat tenaga yang masih ada.

    Berkongsi pengalamannya kepada Bernama, Izuddin yang lebih dikenali sebagai Che Din berkata kehidupannya kini bertukar 360 darjah, daripada seorang yang tidak mempunyai arah hidup dan berasa tersisih kepada pekebun yang mengusahakan ladang pertanian pintar bersama 13 rakan senasib.

    “Apabila Ketua Projek Ariff Hishamudin Hussin pilih saya untuk latih saya jadi petani IoT (Internet Benda), saya terima dengan terbuka dan terharu, sebab masih ada lagi insan yang mahu beri peluang kedua dan kepercayaan kepada orang macam saya.

    “Saya tidak sangka dapat peluang ini, saya anggap peluang ini sebagai talian hayat buat saya,” kata pemuda yang berasal dari Johor itu.

    Mula membanting tulang mencurah keringat di ladang pintar itu sejak awal tahun ini, Che Din berkata beliau telah mengikuti kursus selama tiga bulan bagi mendalami ilmu tentang selok-belok pertanian pintar, khususnya penanaman serta penjagaan sayuran berdaun termasuk kaedah menguruskan sistem IoT dalam bidang pertanian.

    Kehidupan Che Din kini berubah sepenuhnya daripada tanpa arah dan terpinggir kepada seorang pekebun yang mengusahakan ladang pertanian pintar bersama 13 rakan senasib. – Bernama
    Gambar Bernama

    “Banyak kali hasil tangan saya bersama rakan lain sudah dituai, saya rasa bangga dan berpuas hati sebab saya asal daripada gelandangan tetapi kini ada hasil tangan dalam bidang pertanian,” katanya.

    Beliau berkata segala ilmu yang dicurahkan oleh pasukan Metrosfarm dan Jabatan Pertanian Daerah Sepang, akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan berharap dikurniakan rezeki untuk mengusahakan ladang pertanian sendiri pada masa hadapan, demi menjadi seorang insan yang berguna kepada keluarga serta masyarakat.

    “InsyaAllah saya akan buat yang terbaik sebagai membalas budi terhadap peluang ini. Bagi saya, ilmu yang dikongsikan amat bermanfaat berbanding duit. Sebab ilmu tidak akan habis malah makin bertambah tetapi duit akan habis,” katanya menambah turut menerima elaun bulanan sebanyak RM300.

    Berkongsi sejarah penu-buhan Metrosfarm, Ariff Hishamudin berkata idea tercetus ketika program amal pengedaran pek makanan kepada golongan rakan jalanan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2015.

    “Saya terfikir, kenapa kita tidak berikan ilmu kemahiran kepada mereka supaya mereka ini tidak hanya terima bantuan untuk teruskan hidup, sebaliknya diberikan ilmu untuk dimanfaatkan bagi mencari pendapatan sebab masih sihat tubuh badan,” kata anak kelahiran Muar, Johor, berusia 30 tahun itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda