Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lahir ahli pengakap berkualiti

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Seramai 18 orang ahli Pasukan Pengakap Kelana 1102 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini, telah mengikuti kursus kepimpinan jati diri iaitu Kursus Sekapur Sireh dan Istiadat Melantik Ahli Pengakap Kelana yang baharu iaitu istiadat VIGIL di Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), Kem Batang Duri, Daerah Temburong.

    Mengiringi ahli-ahli pengakap pada sepanjang kursus itu ialah Jurulatih Pengakap Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA dan Pesuruhjaya Latihan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darus-salam (PPNBD), Awang Zainudin bin Haji Ishak dan Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Kenegaraan dan Lawatan PPNBD, Haji Junaidi bin Haji Hussin.

    Kursus berkenaan dihasratkan untuk melahirkan ahli-ahli pengakap yang berkualiti serta memiliki kekuatan mental dan fizikal bagi menempuhi segala cabaran fizikal serta dibimbing supaya boleh melakukan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan agar mereka menjadi insan yang berakhlak mulia dalam melahirkan masyarakat yang harmoni juga merupakan generasi harapan bangsa yang bakal menerajui negara pada masa akan datang.

    Program Kursus Sekapur Sireh yang telah dikendalikan oleh pihak OBBD selama tiga hari dua malam itu bermatlamat untuk membentuk sifat-sifat kecekalan dan ketahanan diri serta mental ahli-ahli dalam menghadapi sebarang cabaran yang di luar kebiasaan mereka.

    Semasa mengikuti kursus kepimpinan berkenaan, ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA telah mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti termasuk sesi perbincangan dan pembentangan dalam gerak kerja kumpulan kecil serta pemantapan kemahiran dalam membina keyakinan diri dalam menghadapi cabaran seperti taklimat pertolongan cemas, aktiviti keyakinan ketika berada di dalam air, flying fox, permainan dalam kumpulan, pembelajaran asas membaca kompas dan peta, merentas hutan dari Kem Batang Duri menuju ke Kudan sejauh 3 kilometer (km) dan berkayak sejauh 5.5km di Sungai Temburong menuju semula ke Kem Batang Duri.

    Ahli-ahli baharu Pengakap Kelana UNISSA juga telah menjalani pro-ses mengenal diri sebelum dilantik secara rasminya sebagai ahli Pengakap Kelana dalam Istiadat VIGIL dan majlis Istiadat Melantik Ahli Pengakap Kelana ke-8 yang telah dikendalikan oleh Awang
    Zainudin.

    Sementara itu, bersempena dengan sambutan Hari Bertindak Kesukarelawanan, ahli-ahli pengakap berkenaan juga telah menjalankan kerja-kerja khidmat bakti siswa dengan menjalankan kegiatan kemasyarakatan di OBBD, Kem Batang Duri dengan aktiviti membuat tanda nama dengan tulisan Jawi di Surau OBBD serta membersihkan ka-wasan berkenaan.

    Ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA bergambar ramai bersama Jurulatih OBBD. – GAMBAR SERAHAN PENGAKAP KELANA UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda