Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Langkah menuju tenaga mampan dan hijau

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Dalam memupuk sebuah kerjasama transformatif yang bermatlamat bagi memacu inovasi dan kemampanan, Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Berakas Power Company (BPC) Sdn Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam majlis yang berlangsung di Bangunan Pearl, UTB, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penandatanganan berkenaan ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Menandatangani MoU berkenaan bagi pihak UTB ialah Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dan Penolong Naib Canselor (Industri dan Luaran), Dr Mohamad Saiful bin Haji Omar manakala itu, BPC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Stephen Turner dan Ketua Jabatan Projek dan Kejuruteraan, Benard Christian.

    Usaha kerjasama itu memberikan pengiktirafan kepada sumbangan yang signifikan BPC di mana soko-ngan itu bukan sahaja memperkasakan ruangan fizikal UTB tetapi ia juga menekankan komitmen kepada tenaga mampan dan hijau bagi kemakmuran dan pertumbuhan Negara Brunei Darussalam.

    Sumbangan itu membimbing kedua-dua institusi ke arah sebuah masa depan di mana kemampanan menjadi cara hidup dan bukannya hanya sebuah konsep.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah bergambar ramai selepas menandatangani MoU antara UTB dan BPC. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dan Benard Christian menghadiri majlis penandatanganan MOU di antara UTB dan BPC yang berlangsung di Bangunan Pearl UTB,kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Penandatanganan perjanjian berkenaan juga menandakan sebuah mercu tanda yang melambangkan visi bersama UTB dan BPC bagi sebuah masa depan yang lebih bersih dan mampan.

    Dalam menghadapi cabaran-cabaran seperti perubahan iklim, kehabisan sumber dan keperluan bagi penggunaan tenaga bertanggungjawab, peranan penting sumbangan berkenaan tidak dapat disangkal.

    Sebagai sebuah anak syarikat Darussalam Assets, BPC memainkan peranan penting dengan membekalkan 40 peratus permintaan jana kuasa kebangsaan Brunei. Dalam memenuhi tanggungjawab dan kewajipan sosialnya, BPC adalah komited kepada menyumbang pada sasaran tenaga boleh diperbaharui Wawasan Brunei 2035 dan menyokong matlamat perubahan iklim, di mana ia menyumbang kepada sebuah negara berdaya tahan iklim dan rendah karbon.

    Bagi merealisasikan sasaran itu, ia melibatkan pemasangan solar photovoltaic (PV) berskala kecil, sederhana dan besar.

    Usaha kerjasama itu melangkaui sokongan kepada Matlamat Pembangunan Mampan UTB yang menekankan pentingnya amalan-amalan mampan. Sebagai ahli Lembaga Penasihat Industri UTB, BPC secara aktif mengongsi pengalaman dan pengetahuannya dalam tenaga boleh diperbaharui solar PV bagi menyumbang kepada pendidikan, penyelidikan dan pembangunan sumber yang penting itu. Usaha bersepadu itu menjanjikan impak yang positif dan masa depan yang lebih baik untuk semua.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...