LONDON, 2 JAN – Suspek penyeludup manusia di United Kingdom bakal berdepan larangan perjalanan serta kawalan lebih ketat terhadap penggunaan media sosial dan telefon bimbit, di bawah rancangan baharu kerajaan Britain untuk mengurangkan kemasukan migran melalui bot di Selat Inggeris, menurut pengumuman Kementerian Dalam Negeri, hari ini.
Kementerian itu mengumumkan rancangan untuk mengenakan Perintah Pencegahan Jenayah Serius (SCPO) interim ke atas penyeludup manusia sebelum mereka didakwa di mahkamah, susulan laporan peningkatan jumlah migran yang tiba pada tahun 2024.
Menurut angka sementara daripada kementerian, seramai 36,816 orang dikesan menyeberangi Selat Inggeris tahun lalu, meningkat 25 peratus daripada 29,437 yang direkodkan pada tahun 2023.
Ketika ini, pelaksanaan SCPO terhadap penjenayah termasuk penyeludup manusia melibatkan proses yang rumit dan panjang, yang menurut kerajaan telah menyekat penggunaan alat berkuasa itu.
Rancangan perintah sementara itu, yang akan dimasukkan dalam rang undang-undang untuk dibentangkan di parlimen dalam beberapa minggu akan datang, akan membolehkan agensi penguatkuasaan undang-undang meminta mahkamah mengenakan sekatan segera sementara perintah penuh sedang dipertimbangkan.
Melalui perintah tersebut, suspek boleh dilarang menggunakan komputer riba atau telefon bimbit, mengakses rangkaian media sosial, berurusan dengan individu tertentu, atau menguruskan kewangan mereka.
Melanggar perintah sementara itu boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, menurut Kementerian Dalam Negeri.
Sejak 2008, SCPO digunakan untuk menangani pelbagai jenayah berat termasuk jenayah menggunakan senjata tajam, perhambaan, dan pemerdagangan manusia.
Menteri Dalam Negeri, Yvette Cooper berkata, “penyeludup manusia mengaut keuntungan dengan menjejaskan keselamatan sempadan dan membahayakan nyawa serta tidak boleh dibiarkan bebas begitu sahaja,” katanya. – AFP