Monday, January 6, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan maut dalam letupan kilang mercun

    NEW DELHI, 6 FEB – Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan 80 lagi cedera hari ini dalam satu letupan besar di sebuah kilang mercun di India yang menyaksikan bebola api menjulang ke langit, kata pegawai.

    Rakaman di televisyen India menunjukkan bebola api selepas letupan di kilang mercun dengan berpuluh-puluh ambulans dihantar dan helikopter tentera dipanggil untuk memindahkan mangsa yang cedera.

    Pegawai kanan polis daerah, Rajeshwari Mahobia memberitahu AFP terdapat ‘lapan kematian setakat ini dan kira-kira 80 cedera’ di kilang di Harda di negeri Madhya Pradesh, sambil menambah ‘angka kematian mungkin meningkat.’

    Imej dari tapak kilang menunjukkan tanah kosong dengan runtuhan hitam dan berasap.

    Ketua Menteri Madhya Pradesh, Mohan Yadav berkata laporan mengenai letupan itu adalah ‘berita yang sangat menyedihkan’ dan berkata pegawai perubatan di unit melecur di hospital utama berdekatan dipanggil untuk membuat ‘persiapan yang diperlukan.’

    Anggota penyelamat dan penduduk tempatan berkumpul berdekatan kilang mercun selepas letupan di daerah Harda di negeri Madhya Pradesh kelmarin. – AFP

    Sekurang-kurangnya 20 ambulans berada di lokasi, dengan 50 lagi dihantar untuk membantu mereka yang cedera, tambahnya.

    Kailash Chand Parte, pegawai kanan daerah yang menyelaraskan usaha menyelamat dari kilang itu, berkata jentera bomba sedang memadamkan kebakaran yang sedang marak.

    “Api masih belum terkawal dan kami mempunyai kira-kira 15 jentera bomba dan ramai penyelamat di lokasi,” kata Parte.

    Beliau berkata antara 200 dan 300 orang bekerja di kilang itu, tetapi tidak diketahui berapa ramai yang berada di dalam ketika letupan berlaku.

    “Sekitar 10 bangunan di sekitar kompleks tempat letupan berlaku telah rosak kerana letupan yang kuat,” tambahnya.

    Seorang anggota polis memberitahu Times of India bahawa yang terkorban termasuk mereka yang dipijak semasa insiden panik untuk melarikan diri daripada api yang marak.

    Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata beliau ‘dukacita dengan mereka yang terkorban’, menambah kerajaan akan memberi keluarga mangsa yang terbunuh AS$2,400 setiap seorang sebagai pampasan dan AS$600 kepada mereka yang cedera. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda