BROWNSVILLE, 8 MEI – Sekurang-kurang lapan individu maut dan sebilangan lagi cedera apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) melanggar lampu merah sebelum merempuh sekumpulan orang di perhentian bas di luar pusat bantuan migran di Texas, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Setakat ini, pihak berkuasa menangani kejadian itu sebagai kes kemalangan, namun saksi memberitahu AFP bahawa pemandu terbabit didakwa menjerit kata-kata berbaur penghinaan terhadap kumpulan individu berkenaan sebelum memecut kenderaannya.
Jurucakap polis, Martin Sandoval, berkata SUV berwarna kelabu berkenaan didakwa ‘melanggar lampu merah dan merempuh beberapa orang’ di Brownsville kira-kira jam 8:30 pagi.
Susulan itu, beliau berkata tujuh orang terkorban dan ‘hampir 10’ lagi mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, media AS kemudian melaporkan seorang mangsa yang cedera itu meninggal dunia di hospital.
Saksi warga Venezuela, Luis Herrera, 36, yang cedera di lengan dalam insiden itu, mendakwa pemandu terbabit menghina mereka lalu memecut kenderaannya.
Pemandu itu kemudian ditahan beberapa saksi hingga polis tiba.
Sementara itu Pengarah Eksekutif Pusat Ozanam, Victor Maldonado, berkata mangsa terbabit adalah sebahagian daripada kira-kira 25 individu yang sedang menunggu di perhentian bas berkenaan ketika kejadian.
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai mengerikan dengan terdapat sebahagian anggota badan mangsa dilihat berada di atas jalan raya. – AFP