Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan suspek pemberontak Kashmir terbunuh

    SRINAGAR, 17 NOV – Lapan orang yang disyaki pemberontak terbunuh di Kashmir yang ditadbir India dalam siri pertempuran berasingan dengan tentera sejak dua hari lalu, kata polis hari ini.

    Kejadian tembak-menembak berlaku kelmarin apabila askar India melancarkan pencarian selepas dilaporkan mengenai militan di kawasan selatan Kulgam, dengan lima lelaki terbunuh hari ini, kata polis.

    Kesemua lima orang itu adalah lelaki tempatan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan berpangkalan di Pakistan, Lashkar-e-Taiba, menurut polis.

    Dalam satu pertempuran berasingan, kelmarin, pasukan keselamatan India membunuh dua pemberontak berdekatan dengan sempadan di antara India dan Pakistan.

    Seorang pejuang terbunuh hari ini di kawasan Rajouri semasa berbalas tembakan dengan tentera, menurut kenyataan polis, yang melaporkan penemuan ‘besar’ bekalan senjata telah dirampas.

    Kumpulan pemberontak telah melancarkan pemberontakan sejak 1989, menuntut kemerdekaan atau penggabungan wilayah Himalaya dengan Pakistan. Konflik itu telah menyebabkan puluhan ribu orang awam, tentera dan militan terkorban.

    India menyalahkan Pakistan kerana menyokong militan. Islamabad menafikan tuduhan itu, mengatakan ia hanya menyokong perjuangan Kashmir untuk hak penentuan nasib sendiri.

    Bahagian yang dikuasai India dalam wilayah itu kekal tegang sejak kerajaan Perdana Menteri India, Narendra Modi, memansuhkan autonomi perlembagaan yang terhad pada tahun 2019 dan memperkenalkan pemerintahan langsung.

    Pihak berkuasa India mengatakan sekurang-kurangnya 114 orang telah terbunuh dalam konflik tahun ini, termasuk 11 orang awam, 23 anggota keselamatan dan 80 pemberontak yang disyaki. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda