AVIEMORE – Berada dalam kawanan kambing biri-biri di padang di Tanah Tinggi Scotland, Luigi dan Peaches, dua ekor anjing gembala yang berbulu tebal putih, sibuk dilatih untuk mengawasi ruang udara melihat jika ada kelibat pemangsa.
Kedua-dua anjing itu, yang berasal dari baka Maremma era Rom dan dibela oleh gembala untuk melindungi ternakan mereka dari serangan serigala, telah diajar untuk mengusir helang laut yang semakin berkembang di Scotland, yang juga dikenali sebagai helang ekor putih.
Pernah suatu ketika, baka jenis itu hampir pupus di seluruh Kepulauan British, kini ia berjaya diperkenalkan semula dalam beberapa dekad kebelakangan ini tetapi semakin dipersalahkan kerana membiarkan biri-biri berkeliaran di desa.
Kehilangan ternakan berharga itu menimbulkan ketegangan dengan beberapa penternak, yang terkesan akibat kewangan dan menuntut kerajaan mengeluarkan lesen untuk menembak burung-burung tersebut.
Keadaan yang semakin meruncing itu mendorong Jonny dan Daisy Ames untuk mencipta program latihan anjing di pusat helang mereka berhampiran Aviemore, dengan harapan ia akan membolehkan petani dan helang hidup bersama dengan lebih baik.
“Perkara terakhir yang kami mahu ialah melihat helang ditembak, lesen dikeluarkan dan akhirnya kembali kepada permulaan,” kata Daisy Ames kepada AFP.
“Perlu ada penyelesaian yang berkesan untuk kedua-dua belah pihak.”
Helang laut pernah menjadi pemandangan lazim di seluruh Scotland tetapi diburu sehingga pupus sepanjang abad ke-19, dengan burung terakhir ditembak pada tahun 1918.
Program pengenalan semula pada tahun 1975 membawa anak ayam dari Norway ke pulau Rum, salah satu tempat terliar di Scotland.
Lebih banyak telah diperkenalkan semula di Wester Ross antara 1993 dan 1998 dan di pantai timur pada 2007 dan 2012.
Burung-burung itu, yang merupakan spesies terancam dengan hanya sekitar 10,000 ekor di seluruh dunia, sejak itu telah membentuk populasi pembiakan di pantai barat Scotland dan kini berkembang dengan baik, tetapi dengan memberi kesan kepada sesetengah petani.
Mencari penyelesaian, Jonny Ames memanfaatkan pengalamannya bekerja dengan Projek Pemuliharaan Cheetah di Namibia, di mana Maremmas dilatih untuk menjauhkan kucing besar daripada ternakan.
Untuk mengajar rekrut anjing terbarunya, dia memasang umpan yang direka bentuk menyerupai helang kepada sebuah dron dan melayangkannya di atas anjing di ladang biri-biri.
“Dron itu mempunyai seekor helang besar yang digantung di bahagian bawahnya dan ia seperti menyambar anjing-anjing itu,” katanya kepada AFP.
“Jika awda dapat membayangkan seekor helang di alam liar, jika ia sedang mendekati mangsa dan ada serigala di sana, ia tidak akan mendarat.”
Dia dan Daisy juga membenarkan seekor helang laut yang dipelihara di pusat helang dan diberi makan daripada bangkai di hadapan anjing-anjing itu dalam persekitaran yang terkawal.
“Mereka tidak dapat mencapai satu sama lain tetapi kami ingin mencuba dan menunjukkan kepada anjing-anjing itu bahawa helang adalah pemangsa dan jika ada seekor berhampiran dengan anak kambing maka kami mahu ia mengusirnya,” jelas Jonny.
Salah satu kelebihan anjing-anjing itu adalah ia benar-benar bersikap lembut apabila berurusan dengan manusia, katanya.
“Ia tidak sesuai sebagai anjing pengawal bagi manusia dan perkara terburuk yang akan mereka lakukan adalah menjilatnya sehingga mati.”
Jenny Love, seorang penternak biri-biri di pantai barat Scotland, berkata helang itu memberikan kesan buruk, sambil menambah dia sering mendengar aduan daripada petani tempatan.
Tetapi dia bersimpati terhadap burung pemangsa terbesar di Britain, dengan lebar sayap yang megah menjangkau lebih dua meter.
“Helang bukanlah pihak yang bersalah di sini,” kata Love kepada AFP. “Tiada makanan lain untuk burung-burung ini, jadi mereka memakan anak biri-biri yang mudah menjadi mangsanya.
“Tetapi ia memberikan kesan yang besar kepada petani. Mata pencarian mereka dirampas daripada mereka. Persepsi orang ramai adalah bahawa petani adalah pihak yang bersalah.”
Peladang layak mendapat pembayaran tahunan maksimum sebanyak £5,000 (AS$6,383) untuk ternakan yang terbunuh, melalui Skim Pengurusan Helang Laut.
Bagaimanapun, proses itu mahal dan sukar serta hanya sebahagian kerugian dapat dipulangkan, menurut Love, yang berpendapat tahap pampasan sepatutnya ditingkatkan dan syarat permohonan perlu dipermudahkan.
Seorang petani telah kehilangan anak biri-biri bernilai £30,000 dalam satu musim, katanya.
“Saya pernah melihat lelaki kental yang menangis di hadapan saya kerana mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” tambahnya. – AFP