Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah meneruskan lagi Majlis Malam Munajat bagi kali ke-56 secara maya, malam tadi, yang diserikan dengan laungan Dikir Asyraqal Badru ‘Alaina bersempena dengan bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Majlis kali ini menyaksikan penyertaan orang ramai dan jemaah dari 89 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara.
Menyertai acara malam tadi ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Acara telah dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Penasihat Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Paduka Haji Awang Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.
Sejurus itu, bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Awang Muhammad Ekram `Afif bin Haji Awang Mohd Hanafi dari Surau Asy-Syafi’i, Universiti Islam Sultan Sharif Ali.
Manakala itu, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Istinbat, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Haji Jakaria bin Haji Hitam@Itam.
Acara juga telah diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Ya Rasulullah! Kami Sangat Mencintai Mu’ yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, KHEU, Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin.
Manakala itu, laungan Dikir Asyraqal Badru ‘Alaina diketuai oleh Yang Di-Pertua Pertubuhan Wargamas (PW), Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don, dan dipimpin oleh Ketua Biro Keugamaan PW, Haji Nipah @ Ariffin bin Haji Hassan, bersama ahli-ahli pertubuhan dari Ibu Pejabat PW, Berakas.
Bagi memberkati acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam telah dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin.
