Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Lawatan rasmi PM Vietnam ke Brunei

    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, petang ini berkenan berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Pham Minh Chinh dan isteri, Le Thi Bich Tran serta rombongan yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Negara Brunei Darussalam.

    Juga hadir bagi mengalu-alukan ketibaan TYT Perdana Menteri Vietnam dan isteri ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Menteri Pengiring, dan isteri.

    Juga berada di LTAB ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan isteri; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan isteri; Timbalan Menteri Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd Kadir; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Vietnam, Puan Yang Terutama Datin Paduka Malai Hajah Halimah binti Malai Haji Yussof; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Vietnam ke Negara Brunei Da-russalam, TYT Tran Van Khoa dan isteri.

    Majlis sambutan rasmi dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara.

    TYT Perdana Menteri Vietnam kemudiannya memeriksa barisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

    TYT Perdana Menteri Vietnam seterusnya diperkenalkan kepada menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pemerintah ABDB, ketua-ketua perwakilan asing di Negara Brunei Darussalam, dan setiausaha-setiausaha tetap daripada JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri berserta pasangan masing-masing.

    Sejurus selepas itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah disembah kenalkan kepada rombongan TYT Perdana Menteri Vietnam termasuk Menteri Luar Negeri, TYT Bui Thanh Son dan Minister-Chairman of the Government Office, TYT Tran Van Son.

    Semasa lawatan rasmi itu, TYT Perdana Menteri Vietnam dan isteri serta rombongan dijangka akan mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di Istana Nurul Iman esok.

    Ini adalah merupakan lawatan rasmi pertama Tuan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam sebagai Perdana Menteri Vietnam sejak pelantikannya pada 5 April 2021.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku wakil peribadi KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semasa berkenan berangkat mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, TYT Pham Minh Chinh dan isteri, Le Thi Bich Tran di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – Gambar oleh Infofoto.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semasa berkenan mengalu-alukan ketibaan TYT Pham Minh Chinh dan isteri, Le Thi Bich Tran.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ketika berkenan disembah kenalkan kepada rombongan TYT Perdana Menteri Vietnam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...