Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Gerakan sepadu rampas perahu, barang tegahan

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan JKED

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Sebanyak 4,610 karton rokok dan 180 botol minuman keras pelbagai jenis telah berjaya dirampas semasa gerakan operasi sepadu yang dijalankan di sekitar sungai kawasan Pulau Berambang.

    Turut dirampas tiga buah perahu yang berukuran 21 kaki berserta enjin yang digunakan untuk membawa barang-barang tegahan kastam.

    Menurut Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, operasi sepadu itu dijalankan bersama Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Markas Angkatan Bersama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei di perairan Sungai Brunei tertumpu di kawasan Kampung Bolkiah B dan sekitar Pulau Berambang, baru-baru ini.

    Kesemua barang-barang tegahan yang telah dirampas telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang untuk tindakan pelupusan.

    Sehubungan itu, JKED turut menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara ini dan menghindari melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan, sekatan dan juga larangan kastam.

    ATAS & BAWAH: Perahu dan barang-barang tegahan yang turut dirampas semasa gerakan operasi tersebut.

    Memiliki barang-barang tegahan kastam menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.

    Dalam pada itu, JKED turut mengalu-alukan orang ramai untuk mengongsikan maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau aktiviti yang menyalahi perundangan kastam.

    Jika ada sebarang aduan bolehlah menghubungi talian utama JKED di 8714422 dan 8721422 atau pejabat kastam yang berdekatan. Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

    Di kesempatan itu, pihak JKED turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...