Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Lawrence Wong dilantik TPM Singapura

    SINGAPURA, 6 JUN – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan perubahan dalam barisan kabinet, menyaksikan Lawrence Wong (gambar) dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) berkuat kuasa 13 Jun 2022.

    Dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan Wong, 49,  menjadi seorang daripada dua Timbalan Perdana Menteri di samping Heng Swee Keat, 61.

    Wong akan memikul tanggungjawab sebagai Pemangku Perdana Menteri semasa ketiadaan Perdana Menteri. “Beliau akan terus menyandang jawatan Menteri Kewangan,” menurut kenyataan itu.

    Wong akan memikul tanggungjawab untuk Kumpulan Strategi PMO, yang sebelum ini disandang Heng. Sementara itu Heng, kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri.

    Heng, 61, juga akan terus menjadi Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, menyelia Majlis Ekonomi Masa Depan, Yayasan Penyelidikan Kebangsaan dan Lembaga Pentadbiran Dana Produktiviti.

    Sementara itu, Lee dalam kemas kini terbaharunya di laman Facebook berkata: “Kepimpinan generasi akan datang sedang terbentuk. Saya meminta semua untuk memberikan sokongan padu kepada peralihan penting ini, untuk mengemudi Singapura keluar daripada wabak dengan selamat dan menuju masa depan yang lebih cerah.”

    Perubahan itu akan berkuat kuasa dua bulan selepas Lee pada 14 April mengumumkan bahawa menteri-menteri republik itu telah memilih Wong sebagai ketua baharu pasukan generasi keempat (4G).

    Selain Wong, Lee turut mengumumkan kenaikan pangkat Tan Kiat How sebagai Menteri Kanan Negara sambil meneruskan khidmatnya di Kementerian Perhubungan dan Penerangan serta Kementerian Pembangunan Negara.

    Eric Chua pula akan dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Kanan Parlimen di samping terus berkhidmat di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia; dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga.

    Rahayu Mahzam juga akan dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Kanan Parlimen dan menggalas tugas baharu di Kementerian Undang-undang.

    “Beliau akan terus berkhidmat di Kementerian Kesihatan, tetapi melepaskan jawatannya di Kementerian Perhubungan dan Penerangan,” menurut PMO.

    Menurut PMO, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri supaya Chee Hong Tat kembali kepada kerajaan secara sepenuh masa, dan menerima cadangannya supaya Desmond Tan menyertai NTUC.

    Turut diumumkan lima pelantikan politik. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...