Tuesday, March 18, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100 negara setuju perjanjian cukai baharu

    PARIS, 2 JULAI – Sebanyak 130 negara telah mempersetujui pembaharuan cukai global yang bertujuan memastikan syarikat multinasional membayar bahagian mereka di mana sahaja mereka beroperasi, kata Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) kelmarin, tetapi beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) enggan menandatanganinya.

    OECD dalam satu kenyataan mengatakan syarikat global, termasuk syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS), Google, Amazon, Facebook, dan Apple akan dikenakan cukai sekurang-kurangnya 15 peratus selepas perjanjian itu berkuat kuasa.

    Sistem cukai baharu itu akan menambah sekitar AS$150 bilion untuk wang kerajaan di seluruh dunia setelah ia dikuatkuasakan, yang menurut OECD diharapkan akan dilaksanakan pada tahun 2023.

    “Rangka kerja ini mengemas kini elemen-elemen utama sistem cukai antarabangsa yang sudah berusia seabad ini, yang tidak lagi sesuai untuk tujuan ekonomi abad ke-21,” kata OECD.

    Perjanjian formal itu disokong oleh kumpulan negara-negara kaya G7 bulan lalu, dan rundingan kini beralih ke pertemuan kumpulan G20 ekonomi maju dan negara membangun pada 9 hingga 10 Julai di Venice, Itali.

    Presiden AS, Joe Biden mengatakan kesepakatan terbaharu itu menempatkan kita dalam jarak kesepakatan global penuh untuk cukai korporat.”

    Jerman pula memuji rancangan itu sebagai langkah besar menuju pelaksanaan cukai yang lebih adil dan Perancis mengatakan bahawa ia adalah perjanjian cukai terpenting dalam abad ini.

    Menteri kewangan Britain, Rishi Sunak, di mana negaranya memegang jawatan presiden G7, berkata “Hakikatnya bahawa 130 negara di seluruh dunia, termasuk semua G20, kini berada di dalam satu tujuan yang sama, menandakan langkah selanjutnya dalam misi kita untuk mereformasi cukai global.” – AFP

    Syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS), Google, Amazon, Facebook, dan Apple akan dikenakan cukai sekurang-kurangnya 15 peratus selepas perjanjian itu berkuat kuasa, menurut kenyataan OECD. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda