BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Bagi meningkatkan perkembangan minda para pelajar tadika mengenai pembelajaran berintegrasi dan bermain secara berseronok, Sekolah St George telah membawa seramai lebih kurang 60 orang pelajar tadika sekolah berkenaan dalam lawatan ke Fun Block, Bangunan Hua Ho Manggis Mall.
Taman permainan interaktif itu menawarkan 11 kawasan permainan yang menarik dan taman permainan dalam bangunan yang imaginatif termasuk mempunyai sebuah model pesawat permainan untuk kanak-kanak.
Sebelum bermain, para pelajar tadika diberikan taklimat ringkas mengenai peraturan-peraturan taman permainan dan melakukan tarian pagi yang dikendalikan oleh kakitangan Fun Block.
Lawatan sambil belajar tersebut antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tadika mengenai bidang pekerjaan yang ada dengan terperinci.

Para pelajar juga dapat mendedahkan serta mengukuhkan kemahiran mereka, selain menggalakkan para pelajar untuk melakukan aktiviti positif dan menghindarkan mereka daripada lebih banyak menghabiskan masa dengan bermain permainan komputer dan telefon bimbit.
Selain itu, dengan memakai pakaian kerjaya pilihan mereka, kanak-kanak dapat membuat lakonan yang kreatif dalam situasi sebenar seperti menjadi pelakon, tukang masak, cef, penjual makanan, mekanik, doktor atau saintis.
Aktiviti ini dihasratkan dapat mengembangkan minda kanak-kanak, membina keyakinan, kreativiti, kemahiran berkomunikasi mereka dan menggalakkan interaksi sosial serta membantu kanak-kanak menyelesaikan masalah tertentu.