Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Lebih 6,300 jadi mangsa ‘rakan palsu’

    SINGAPURA, 24 JAN – Lebih 6,300 individu menjadi mangsa penipuan ‘rakan palsu’ di Singapura tahun lalu dan mengakibatkan kerugian kira-kira AS$16 juta, menurut polis.

    Jenayah sedemikian melibatkan penjenayah yang menghubungi mangsa, menyamar sebagai kenalan mereka dan meminta bantuan kewangan.

    Negara kota yang kaya itu telah dilanda dengan lonjakan penipuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pihak berkuasa kerap mengeluarkan amaran kepada orang ramai terhadap skim baharu yang digunakan oleh penjenayah.

    Polis berkata dalam satu kenyataan kelmarin, penipuan itu telah menyebabkan mangsa kerugian AS$15.7 juta antara Januari dan November tahun lepas.

    Dalam kes terbaharu, lima rakyat Malaysia telah diekstradisi kelmarin ke Singapura kerana panggilan penipuan ‘rakan palsu’ melibatkan lebih AS$1 juta dana yang hilang, kata polis dalam satu kenyataan.

    Polis Malaysia dan Singapura menjalankan serbuan ke atas dua pangsapuri di negeri Johor Malaysia, yang bersempadan dengan negara kota itu, dalam satu operasi bersama awal bulan ini.

    Mereka telah berjaya menahan lima lelaki berusia antara 19 dan 36 tahun yang disyaki terlibat dalam penipuan yang menyasarkan warga Singapura.

    Kelima-lima tertuduh telah diekstradisi ke Singapura kelmarin dan akan didakwa hari ini atas tuduhan bersubahat menipu, kata polis. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...