Tuesday, April 30, 2024
32.5 C
Brunei

    -

    Lebih banyak kerjasama dijangka dijalin dengan Singapura

    KUCHING, 16 APRIL – Kerajaan Negeri Sarawak menyambut baik pelantikan Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu dan berharap dapat mengkaji dengan lebih lanjut pendekatan republik itu dalam membantu golongan berpendapatan rendah (B40).

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Wong sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Singapura memiliki pengalaman serta pandangan dan pemahaman yang baik mengenai hubungan Singapura-Malaysia, khususnya dengan Sarawak.

    “Seperti yang awda tahu, beliau adalah Menteri Kewangan dan beliau telah memaklumkan kepada saya dalam perbincangan kami sebelum ini bagaimana beliau membantu golongan B40.

    “Bantuan yang diberikan oleh kerajaan Singapura dan pendekatan mereka melalui penggunaan baucar cukup baik. Mereka memiliki kedai barangan keperluan asas yang dikendalikan melalui kesatuan sekerja. Jadi apabila awda bercakap mengenai bantuan bersasar, saya rasa Singapura memiliki pendekatan yang baik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjuran Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Naroden Majais di sini hari ini.

    Semalam, Pejabat Perdana Menteri Singapura mengumumkan Wong akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat republik itu pada 15 Mei ini menggantikan Lee Hsien Loong, yang mengisi jawatan tersebut mulai 2004.

    Abang Johari berkata Sarawak telah menikmati hubungan baik dengan Singapura terutama kerjasama dalam sektor perdagangan dan tenaga yang membawa kepada penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) pada 2019.

    “Saya yakin peralihan kuasa ini akan berjalan lancar kerana ia masih kerajaan yang sama kecuali pemimpinnya akan bertukar,” katanya. – Bernama

    Abang Johari ditemui pemberita selepas mengunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri di Kuching kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun nafi akan berundur atas kekalahan partinya dalam pilihan raya...

    TOKYO, 30 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata pada hari ini kekalahan besar parti pemerintahnya dalam pilihan raya kecil hujung minggu lalu...