Legenda TV, filem dan pementasan British, Angela Lansbury yang kerjayanya dalam dunia seni menjangkau hampir 80 tahun, meninggal dunia pada usia 96 tahun.
Anak-anak Dame Angela Lansbury mengumumkan bahawa ibu mereka meninggal dunia dalam tidur di rumahnya di Los Angeles pada 1:30 pagi, Selasa, 11 Oktober, lima hari sebelum ulang tahunnya yang ke-97, lapor United Press International (UPI) yang memetik kenyataan keluarganya kepada NBC News and People.
“Selain tiga anaknya, Anthony, Deirdre dan David, beliau meninggalkan suami, tiga cucu, Peter, Katherine dan Ian, serta lima cicit dan abangnya, penerbit, Edgar Lansbury.
Terkenal dengan wataknya sebagai Jessica Fletcher, penulis yang menyelesaikan jenayah misteri dalam drama TV, Murder, She Wrote, dari 1984-1996, Lansbury adalah antara bintang terakhir Zaman Keemasaan Hollywood – pemenang BAFTA dan Golden Globe, yang turut menerima Oscar kehormat untuk Pencapaian Sepanjang Hayat dalam industri perfileman.
Lansbury muncul dalam lebih 70 filem, termasuk klasik Gaslight (1944), National Velvet (1944), The Picture of Dorian Grey (1945), Samson dan Delilah (1949), The Court Jester, (1955), The Long, Hot Summer (1958), The Manchurian Candidate (1962), Mame (1966), Bedknobs and Broomsticks (1971), Death on The Nile (1978), Beauty and the Beast (1991), Anastasia (1997), Nanny McPhee (2005) dan Mary Poppins Returns (2018).
Pelakon itu membuat penampilan pertamanya di Broadway pada 1957 di Hotel Paradiso, diikuti A Taste of Honey (1960) dan Anyone Can Whistle (1964), lapornya.
Beliau memenangi anugerah pertama daripada lima Tony Awards bagi Mame pada 1966, diikuti Dear World (1969), Gypsy (1974), Sweeney Todd (1979) dan Blithe Spirit (2009). Kredit Broadway beliau yang lain termasuk Deuce (2007), A Little Night Music (2009) dan The Best Man (2012) oleh Gore Vidal.
Landsbury diberi penghormatan menerima Special Tony Awards 2022 untuk Pencapaian Sepanjang Hayat pada 2022, walaupun beliau tidak hadir berikutan penularan wabak coronavirus.
Lansbury juga merupakan penerima Pingat Seni Kebangsaan dan Penghormatan Pusat Kennedy, dan Ratu Elizabeth II menamakannya sebagai Komander Dame Empayar British. – Bernama