MOSCOW, 2 Feb – Pemain pertahanan Branislav Ivanovic telah mengakhiri kerjaya cemerlangnya bersama Chelsea kelmarin selepas dia menandatangani untuk menyertai Zenit Saint Petersburg dengan yuran perpindahan rahsia.
Pemain Serbia berusia 32 tahun itu telah menandatangani kontrak dua tahun setengah dengan alternatif disambung setahun lagi.
“Saya mempunyai keinginan yang kuat untuk kembali ke Rusia,” kata Ivanovic, yang telah menjaringkan lima gol dalam 54 perlawanan bagi Lokonmotic Moscow pada tahun 2006-07 sebelum menyertai Chelsea pada tahun 2008, menurut laman sesawang Zenit.
“Saya rasakan motivasi dan keinginan yang kuat untuk meneruskan bermain di tahap yang tertinggi.”
Ivanovic telah memenangi dua kejuaraan Liga Perdana, satu Liga Juara-Juara, satu Liga Europa, tiga Piala FA dan satu Piala Liga ketika bersama Chelsea.
Dia merupakan antara lima orang pemain asing, bersama Didier Drogba, John Obi Mikel, Petr Cech dan Gianfranco Zola, untuk mencapai 300 penampilan bersama skuad The Blues.
Chelsea membuat kenyataan dalam Twitter mereka mengenai Ivanovic, yang telah membuat 82 penampilan bersama Serbia yang juga merupakan kapten pasukan Serbia, bahawa dia merupakan ‘legenda Chelsea’.
Zenit berada di tangga kedua dalam Liga Perdana Rusia, lima mata di belakang Spartak Moscow.
Ketika ini liga Rusia berehat musim sejuk dan akan disambung pada bulan Mac. – AFP