LEICESTER, ENGLAND, 2 DIS – Kelechi Iheanacho meneruskan rentak kemenangan Leicester dan menimbulkan kegusaran kepada pengurus Everton, Marco Silva ketika pertemuan di antara Leicester City dan Everton dalam Liga Perdana Inggeris, kelmarin.
Pemain gantian itu, menjaringkan gol pertama Liga Perdana Inggeris sejak September 2018 untuk memberikan kemenangan kepada Foxes 2-1 ke atas Toffees, kemenangan keenam berturut-turut. Tuan rumah Leicester berhadapan penantian lama sebelum VAR memberikan gol selepas penyerang itu pada awalnya dianggap telah berada dalam kedudukan offside.
“Saya fikir ia satu perkara yang perlu disebutkan hari ini kerana para pengadil dan para pegawai telah mendapat banyak kritikan begitu juga dengan VAR, hari ini merupakan satu tambahan buat saya,” kata pengurus Leicester, Brendan Rodgers.
Dia juga menafikan spekulasi yang menghubungkannya dengan Arsenal selepas Unai Emery dipecat. Everton telah melihat satu peluang dan memberi tekanan kepada Silva, yang mengelak persoalan tentang masa depannya.
“Saya bukan orang yang terbaik untuk bertanya mengenai perkara itu,” katanya.
“Saya tahu apa yang saya lakukan. Saya tahu kerja saya. Esok akan menjadi hari lain bagi saya untuk menyediakan sesi latihan yang lain.”
Richarlison memberikan Toffees pendahuluan pada separuh masa pertama sebelum gol minit ke-13 daripada Jamie Vardy untuk menyamakan kedudukan.
Leicester kembali menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana Inggeris, lapan mata ketinggalan di belakang Liverpool. – AP
