Monday, November 18, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki cedera mata dalam pergaduhan kini stabil

    GEORGE TOWN, 18 NOV – Lelaki yang mengalami kecederaan dalam pergaduhan dengan seorang warga asing Sabtu lepas, telah selesai menjalani pembedahan mata dan keadaannya stabil.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata lelaki berumur 52 tahun itu sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, dan mungkin akan mengalami kecacatan kekal akibat kejadian.

    Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, lelaki itu dipercayai mabuk semasa bergaduh akibat perselisihan faham dengan seorang lelaki berumur 28 tahun yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

    “Suspek tiada sebarang rekod lampau.. namun mangsa ada beberapa kes jenayah lampau, dan polis sedang lengkapkan kertas siasatan kes itu, kita akan tuduh lelaki warga asing itu di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan nanti,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Timur Laut.

    Dalam kejadian di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor, Pulau Pinang kira-kira pukul 2 petang Sabtu lepas, pergaduhan antara kedua-dua mereka yang tinggal berjiran di flat tidak jauh dari lokasi itu berlaku apabila lelaki dipercayai mabuk itu dikatakan mengganggu suspek.

    Warga asing itu kini direman hingga Rabu ini. – Bernama

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda