Saturday, May 4, 2024
26.4 C
Brunei

    -

    Lelaki ditahan bantu siasatan kes bawa kwantao

    SIBU, 23 APRIL – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan video tular menerusi laman sosial memaparkan seorang lelaki membawa sebilah ‘kwantao’ di sebuah kawasan lapang di Jalan Wong King Huo di sini semalam.

    Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di rumahnya pada 12:20 tengah malam selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 31 tahun pada 11:48 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili dalam kenyataan berkata, siasatan awal mendapati kejadian yang dipaparkan dalam video berdurasi satu minit 38 saat itu berlaku lebih kurang lima petang semalam.

    “Suspek berang apabila dihubungi oleh anak lelakinya yang memberitahu ada sekumpulan remaja lelaki mahu memukul anaknya itu. Suspek bergegas ke tempat kejadian dari rumahnya sambil membawa bersama sebilah ‘kwantao’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Zulkipli berkata lelaki terbabit yang tidak memiliki rekod jenayah lampau dan negatif terhadap dadah kini direman hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

    Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang komen menerusi media sosial berkaitan video tular itu hingga boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat. – Bernama

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada 24 Februari lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...