Monday, November 25, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki ditembak mati, serang kedutaan Israel di Jordan

    AMMAN, 24 NOV – Seorang lelaki maut selepas melepaskan tembakan yang mence-derakan tiga anggota keselamatan berhampiran kedutaan Israel di ibu negara Jordan, Amman, lapor media tempatan, hari ini.

    Jurucakap kerajaan Jordan, Mohamed Momani, menyifatkan insiden itu sebagai ‘serangan pengganas’ dan menjelaskan bahawa penyerang merupakan seorang penjenayah yang mempunyai sejarah kesalahan berkaitan dadah.

    “Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti keadaan dan motif di sebalik serangan ini, yang berlaku pada waktu subuh,” katanya kepada agensi berita rasmi, Petra.

    Direktorat Keselamatan Awam Jordan melaporkan kejadian berlaku di daerah Rabieh, lokasi kedutaan Israel.

    Menurut kenyataan agensi itu, lelaki berkenaan mula melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan, yang bertindak balas mengikut peraturan operasi, menyebabkan kematian penyerang.

    Tiga anggota keselamatan dilaporkan cedera dalam insiden itu dan kini sedang menerima rawatan.

    Jordan, yang telah menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1994, secara umumnya mengekalkan hubungan stabil dengan negara tersebut.

    Namun, kawasan Rabieh menjadi pusat protes terhadap kedutaan Israel sejak tercetusnya konflik antara Israel dan kumpulan militan Hamas di Semenanjung Gaza pada Oktober tahun lalu. – AFP

    Pasukan keselamatan Jordan berkawal di luar kedutaan Israel di kawasan kediaman Rabiyeh, ibu kota Amman, Jordan pada 23 Julai 2017. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda