Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Lelaki langgar, tikam orang awam dipenjara seumur hidup

    SEOUL, 1 FEB – Seorang hakim Korea Selatan telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada seorang lelaki atas tuduhan membunuh dalam serangan membabi buta menggunakan kereta dan pisau, yang mengakibatkan dua kematian dan 12 lagi cedera di sebuah bandar berhampiran Seoul pada tahun lalu.

    Pendakwa raya telah menuntut hukuman mati ke atas Choi Won-jong yang berusia 23 tahun, yang ditangkap pada Ogos selepas dia merempuh keretanya ke arah pejalan kaki di kawasan rekreasi yang sibuk di Seongnam dan kemudian keluar dari kenderaan yang dirempuh itu dan menikam orang ramai secara rawak di pusat membeli-belah berhampiran.

    Dua daripada lima orang yang dilanggar oleh kereta itu meninggal dunia akibat kecederaan mereka, manakala sembilan lagi dirawat kerana kesan tikaman.

    Hakim, Kang Hyun-koo dari Mahkamah Daerah Suwon cawangan Seongnam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Choi, menolak rayuan peguam pembelaan untuk kelonggaran berdasarkan masalah kesihatan mental defendan.

    Mahkamah juga memerintahkan Choi memakai alat pengesan elektronik selama 30 tahun.

    Hakim berkata jenayah Choi ‘menimbulkan ketakutan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi sasaran serangan pengganas di tempat awam’ dan mendapati dia bersalah atas tuduhan membunuh, cubaan membunuh dan pembunuhan terancang.

    Choi mempunyai tempoh tujuh hari untuk membuat rayuan.

    Serangan Choi berlaku beberapa minggu selepas seorang lelaki bersenjatakan pisau menikam sekurang-kurangnya empat pejalan kaki di jalan di ibu negara Korea Selatan, menyebabkan kematian seorang individu. Walaupun negara tersebut mengawal ketat pemilikan senjata api, tidak terdapat sekatan yang bermakna yang dikenakan terhadap pisau.

    Susulan insiden di Seongnam, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol meningkatkan penempatan pegawai penguatkuasa undang-undang di kawasan sesak dan meluaskan pemantauan media sosial dan papan mesej dalam talian untuk mengesan ancaman. – AP

    Choi (tengah), ketika dipindahkan ke bahagian pendakwaan di sebuah balai polis di Seongnam, Korea Selatan pada 10 Ogos 2023. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...