BRASILIA, 14 NOV – Seorang lelaki yang membawa bahan letupan maut dalam satu ledakan ketika cuba menyerang Mahkamah Agung Brazil semalam, hanya beberapa hari sebelum negara itu menjadi tuan rumah sidang kemuncak G20, kata pihak berkuasa. Naib Gabenor Brasilia, Celina Leao, berkata maklumat awal menunjukkan kejadian tersebut berkemungkinan besar satu tindakan ‘bunuh diri’ dan berlaku beberapa saat selepas letupan sebuah kereta berhampiran yang dilihat lelaki itu keluar daripadanya.
“Individu ini menghampiri Mahkamah Agung Persekutuan, cuba memasuki bangunan, namun gagal, dan letupan berlaku di pintu masuk,” kata Leao kepada pemberita, sambil menambah tiada individu lain yang cedera dalam insiden itu.
Mayat lelaki tersebut ditemui dengan “peranti masih terpasang padanya,” tambahnya.
Polis Persekutuan dalam satu kenyataan menyatakan, “Satu siasatan polis akan dibuka untuk menyiasat serangan ini.”
Menurut laporan GloboNews yang memetik kenyataan polis, lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai Francisco Wanderley Luiz, calon majlis tempatan bagi Parti Liberal pada 2020, parti yang sama dengan bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro.
Seorang pekerja kerajaan di Brasilia, Laiana Costa, menceritakan kepada media tempatan bahawa dia sempat melihat lelaki itu lalu di hadapannya: “Saya terdengar bunyi kuat, menoleh ke belakang dan nampak api serta asap.” – AFP