Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Lelaki rompak dua wanita, curi kereta ketahui hukuman 15 Jan 2022

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Seorang lelaki tempatan akan mengetahui nasibnya pada 15 Januari 2022 kerana merompak seorang wanita dengan bersenjatakan pisau selain menyerangnya secara seksual.

    Mohammad Faizul Helmey bin Ahmad Umar, 31, hari ini, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Perantaraan bersama tiga lagi pertuduhan rompakan dan curi.

    Pendakwa Raya Atiyyah Abas mendedahkan di mahkamah bahawa pada pagi 18 Oktober, defendan sedang menunggang basikalnya di Bengkurong apabila seorang wanita berusia 42 tahun menghentikan kenderaannya untuk bertanyakan alamat seseorang kepada defendan.

    Defendan kemudian menawarkan untuk pergi bersamanya dengan alasan untuk menunjukkan lokasi berkenaan.

    Bagaimanapun, ketika menunjukkan arah, defendan terus mengeluarkan pisau saku untuk mengancam mangsa, menumbuk perut dan menampar muka mangsa serta mengarahkannya keluar dari kereta, namun mangsa enggan.

    Defendan kemudian memandu kereta mangsa menuju ke kawasan terpencil dan mula menyerang mangsa secara seksual.

    Defendan kemudian meninggalkan mangsa di tepi jalan dan memandu kenderaan tersebut bersama beg tangan mangsa.

    Defendan telah ditahan pada 30 November.

    Polis mendapati defendan telah menukar warna kereta, mengganti plat lesen kenderaan dengan plat lesen curi lain serta menggunakan kereta itu selama sebulan sebelum meninggalkannya di kawasan komersial di Tungku Link.

    Defendan juga mencuri plat lesen dari sebuah kereta di sebuah bengkel di Telisai, Tutong sekitar Ogos lalu.

    Siasatan lanjut turut mendedahkan defendan telah menawarkan seorang wanita warga Indonesia untuk menaiki keretanya ketika dia menghampirinya di perhentian bas di Kampung Tungku pada 20 Oktober.

    Dia berkata dia menuju ke arah yang sama dan sanggup menumpangkannya ke destinasinya dengan bayaran $1.

    Defendan kemudian memandu ke simpang berhampiran, menahan mangsa sambil mengugut wang daripadanya.

    Setelah mangsa memberitahu tidak mempunyai wang, defendan merampas seutas gelang emas dari lengannya, telefon bimbit dan menghantarnya ke kedai serbaneka berhampiran.
    Defendan mengatakan dia telah menjual gelang dan telefon mangsa.

    Siasatan juga mendapati defendan telah mencuri sebuah lagi kenderaan dari sebuah rumah di Jalan Pasir Berakas pada bulan November dan memandu ke Seria.

    Dia kemudian meninggalkan kenderaan itu di Lumut setelah kereta itu mengalami kerosakan.

    Hakim Pengiran Masni Pengiran Haji Bahar sedang mempertimbangkan hukuman yang setimpal ke atas defendan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...