KUALA LUMPUR – Pelakon, Lisa Surihani, menganggap pelantikan dirinya sebagai duta Dana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Kanak-Kanak (UNICEF) Malaysia sebagai impian zaman sekolah yang akhirnya direalisasikan.
Katanya, pelawaan organisasi di bawah Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) itu membolehkannya menyalurkan kesedaran membela hak asasi kanak-kanak selaku generasi yang harus dilindungi.
“Sebagai ibu dan seorang yang sukakan kanak-kanak, saya melihat tanggungjawab ini sebagai medium untuk membantu menyuntik kesedaran di kalangan masyarakat dalam usaha mewujudkan persekitaran selamat dan sihat buat kelompok sasaran. Menjadi duta UNICEF memberikan peluang tepat kepada saya untuk membabitkan diri secara peribadi dengan mengikuti pelbagai program yang direncanakan. Pada masa sama, apabila bergelar ibu, perasaan saya menjadi semakin sensitif, selain mudah terasa apabila melihat anak kecil yang sepatutnya dilindungi menjadi mangsa individu dan keadaan semasa,” katanya yang menyandang tanggungjawab itu selama dua tahun.
Pelantikan pelakon berkenaan diumumkan wakil UNICEF di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh.
Akui Lisa yang kini hamil cahaya mata kedua, selain kempen menerusi bengkel dan ceramah, beliau menggunakan laman sosial sebagai medium untuk berkongsi menyebarkan misi kesedaran berkaitan perlindungan kanak-kanak.
Sementara itu, Clark-Hattingh berkata, pembabitan figura popular terbabit menjurus kepada promosi meletakkan ke hadapan hak kanak-kanak di Malaysia dan sejagat menerusi pelbagai kempen anjuran mereka.
“Sokongan beliau meliputi usaha ke arah menghapuskan keganasan dan penganiayaan terhadap kanak-kanak, integrasi kanak-kanak kurang upaya, penggunaan internet yang lebih selamat dan pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.