SOUTHAMPTON, 25 NOV – Mohamed Salah meledak dua gol pada separuh masa kedua untuk memastikan Liverpool kekal lapan mata di hadapan di puncak Liga Perdana Inggeris, selepas pendahulu liga itu nyaris dikejutkan oleh pasukan tercorot, Southampton kelmarin.
Pasukan kendalian Arne Slot mendahului perlawanan melalui rembatan Dominik Szoboszlai, gol keduanya pada musim ini, namun Southampton berjaya menyamai kedudukan menerusi Adam Armstrong sebelum waktu rehat di St Mary’s.
Mateus Fernandes kemudian meletakkan Southampton di hadapan sejurus selepas separuh masa kedua bermula, sebelum Salah tampil menyelamatkan maruah Liverpool.
Salah dengan tenang menjaringkan gol penyamaan sebelum menunjukkan ketenangan luar biasa untuk menyempurnakan sepakan penalti lewat permainan, menjadikannya 12 gol dalam semua pertandingan musim ini dan enam dalam lima penampilan terakhir Liga Perdana Inggeris.
Hasil aksi cemerlang Salah pada saat-saat akhir, Liverpool kini meninggalkan juara bertahan Manchester City jauh di belakang selepas kekalahan memalukan 4-0 pasukan di tangan Tottenham pada Sabtu.
Slot mencatatkan permulaan yang luar biasa mengendalikan Liverpool, dengan memenangi 16 daripada 18 perlawanan dalam semua pertandingan.
Bekas pengurus Feyenoord itu memberikan sentuhan istimewanya, menjadikan Liverpool sebagai pasukan pilihan utama untuk meraih gelaran Liga Perdana Inggeris pertama sejak 2020, dalam musim sulungnya di Anfield selepas menggantikan Jurgen Klopp.
Liverpool tidak berada pada prestasi terbaik ketika menentang Southampton, tetapi kemenangan yang penuh kecekalan itu merupakan permulaan sempurna untuk tempoh kritikal yang akan datang.
The Reds akan menjadi tuan rumah kepada Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu, sebelum Manchester City bertandang ke Anfield hujung minggu depan. – AFP