Thursday, May 2, 2024
24 C
Brunei

    -

    Liverpool tewas di Anfield

    LIVERPOOL, 15 APRIL – Jurgen Klopp berkata Liverpool mesti bertindak pantas dalam usaha memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas 0-1 kepada Crystal Palace di Anfield, semalam.

    Kekalahan pertama pada aksi liga di laman sendiri dalam 29 perlawanan menyebabkan anak buah Klopp ketinggalan dua mata di belakang Manchester City.

    Gol awal Eberechi Eze memberikan The Eagles kemenangan penting dalam perjuangan mereka untuk kekal di EPL apabila kini mempunyai kelebihan lapan mata dari zon penyingkiran.

    Namun musim terakhir Liverpool di bawah kendalian Klopp semakin sukar selepas pemenang Piala Liga itu pada awalnya dilihat berpeluang merangkul empat piala beberapa minggu lalu.

    Selepas disingkir Manchester United daripada saingan Piala FA, Liverpool mengalami kekalahan kali pertama di tempat sendiri dalam mana-mana pertandingan selama 14 bulan selepas Atalanta menewaskan mereka 3-0 di Anfield pada aksi suku akhir pertama Liga Europa.

    “Gol yang kami bolosi itu adalah sangat mengecewakan. Segala-galanya bergantung kepada kami.

    “Jika kami bermain seperti pada separuh masa pertama mengapa perlu memenangi liga? Jika kami bermain seperti pada separuh masa kedua, kami boleh memenangi perlawanan bola sepak.

    “Tetapi hari ini kami tidak beraksi dengan baik dan itulah sebabnya kami kalah,” kata Klopp.

    Anak buah Klopp kini hanya memenangi tiga daripada lapan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan dan menunjukkan tanda-tanda keletihan selepas sudah beraksi 51 perlawanan musim ini.

    Permulaan perlahan telah menjadi perkara berulang Liverpool sejak kebelakangan ini dan mereka sekali lagi terpaksa bangkit dari belakang.

    Alisson Becker membuat kepulangannya yang lama ditunggu-tunggu untuk pasukan tuan rumah tetapi dia tidak mempunyai peluang apabila Eze membuat penyudah mudah daripada hantaran silang Tyrick Mitchell.

    “Gol yang kami bolos adalah mengerikan,” kata Klopp.

    Palace nyaris menambah jaringan namun Andy Robertson berjaya memintas bola dari melepasi garisan gol untuk menafikan Jean-Philippe Mateta selepas Virgil van Dijk tergelincir membolehkan penyerang Perancis itu menyerang. – AFP

    Darwin Nunez (kiri) beraksi semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Crystal Palace di Anfield di Liverpool, 14 April. – AFP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ tolak keahlian pakatan teknologi pertahanan AUKUS

    WELLINGTON, 1 MEI - Menteri Luar New Zealand hari ini menolak penyertaan pakatan teknologi pertahanan penting dengan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS),...