Thursday, January 16, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lombong arang batu terakhir di Beijing ditutup

    MENTOUGOI – Kilang-kilang bakal dirobohkan dengan peralatan jentera yang berkarat ditinggalkan di bukit-bukit di Mentougou, lombong arang batu terakhir di Beijing yang dijangka ditutup tahun ini selepas ibu kota bergelut dengan kesan pencemaran asap daripada lombong berkenaan.

    Ia merupakan salah satu bandar perlombongan tertua di China yang telah menguasai ibu kota selama hampir 300 tahun. Tetapi lebih daripada 270 lombong arang batu di kawasan itu telah ditutup selama dua dekad yang lalu, kerana China telah bergelut untuk menghentikan pelepasan karbon dan beralih kepada tenaga yang boleh diperbaharui.

    Lombong yang terakhir yang menggaji kira-kira 7,000 orang pekerja dijadualkan ditutup sepenuhnya pada tahun ini.

    “Apabila lombong arang batu Datai ditutup, tidak ada lombong arang batu di Beijing yang tersisa,” kata Ma Shihui, pelombong dari wilayah barat daya Sichuan.

    Pekerja muda sudah menerima gaji terakhir mereka dan berpindah ke bandar untuk mencari kerja baharu.

    Orang awam ketika berada di kawasan kampung di luar lombong arang batu Datai. – AFP
    Gambar bertarikh 11 Disember 2019 menunjukkan lombong arang batu Datai di Mentougou, di barat Beijing. – AFP
    Gambar bertarikh 18 Disember 2019 menunjukkan beberapa orang pekerja sedang memotong kereta sorong arang batu di lombong arang batu Datai di Mentougou yang bakal ditutup tahun ini. – AFP
    Gambar fail bertarikh 8 Januari 2020 menunjukkan peralatan di sebuah tempat di lombong arang batu Datai di Mentougou, yang merupakan salah sebuah bandar perlombongan tertua di China. – AFP

    Tetapi beratus-ratus orang lain seperti Ma mempunyai sedikit harapan untuk mencari pekerjaan baharu kerana usia tua dan tidak mempunyai hak untuk tanah ladang di kampung mereka.

    Ma bekerja dengan bahan letupan di lombong Datai sejak tahun 2016 dan memperoleh kira-kira 10,000 yuan (AS$ 1,400) sebulan. Sekarang keluarganya bertahan hidup dengan pendapatan 1,540 yuan sebulan yang diberikan dari syarikat perlombongan itu.

    “Saya sudah berumur 50 tahun… Jika anda berumur lebih dari 45 tahun, mereka tidak memerlukan anda,” katanya.

    “Keluarga saya tidak mempunyai tanah ladang lagi… Jadi saya tidak boleh kembali, walaupun jika anda kembali tidak ada gunanya lagi, anda tidak boleh bertahan hidup.”

    Menurut Beijing Jinmei Group, perusahaan milik negara yang memiliki lombong berdekatan ibu kota, penutupan yang diamanahkan kerajaan akan menyebabkan kehilangan enam juta tan kapasiti pengeluaran arang batu dan ‘penempatan semula’ lebih daripada 11,000 orang pekerja, yang kebanyakannya adalah pendatang.

    Mereka yang tertinggal seperti Ma pergi dua kali sehari untuk menandatangani kehadiran di pejabat perlombongan. Mereka juga membantu membuang dokumen yang dipotong kecil dan mengitar semula sisa perlombongan.

    “Saya berharap syarikat itu dapat menguruskan beberapa pekerjaan untuk saya di lombong mereka yang lain di Ningxia atau Shandong,” kata Ma.

    “Saya tidak keberatan bekerja sebagai pembersih.”

    Pelombong-pelombong menderita penyakit paru-paru selepas menghirup habuk arang batu yang juga mencemarkan udara di bandar barat daya Beijing, kerana insurans kesihatan kerajaan mereka hanya meliputi rawatan dari hospital-hospital di kawasan itu.

    Seorang pelombong dari Guizhou bernama Zhang berkata dia didiagnosis menghidap penyakit paru-paru hitam pada bulan Januari tahun lepas. Beliau telah bekerja di lombong Datai selama 30 tahun.

    Kerajaan telah menjanjikan 380,000 yuan sebagai pampasan bagi pelombong-pelombong yang sakit, kata Zhang, tetapi belum semua menerima wang tersebut.

    Kira-kira 1,400 orang pekerja yang menderita penyakit berkenaan yang telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap pengendali lombong, menuduh syarikat menipu terhadap pampasan mereka untuk kecederaan yang berkaitan dengan kerja.

    Panggilan dan faks ke Beijing Jinmei Group mengenai isu itu tidak terjawab.

    Liu Sheng, 51, telah bekerja di lombong arang batu sejak tahun 1989. Dia terpaksa bersara pada tahun 2012 selepas didiagnosis menghidap penyakit paru-paru hitam.

    “Perkara utama mengenai penyakit ini adalah masalah paru-paru. Ia memerlukan banyak usaha untuk keluar… Ia tidak dapat disembuhkan,” kata Liu. “Saya biasanya dimasukkan ke hospital lima atau enam kali setahun.”

    Liu kini hidup dalam pemberian bulanan dari kerajaan sebanyak 4,000 yuan. Dia tidak dapat kembali ke kampungnya di Sichuan kerana kad insurans kesihatan yang diberikan oleh syarikat itu hanya diterima di hospital-hospital di kawasan Mentougou.

    “Saya datang ke Beijing ketika berusia 20 tahun dan kini saya berusia 50 tahun. Beijing adalah rumah kedua saya,” kata Liu.

    “Tidak adil bagi mereka untuk meminta kami pergi sekarang.”

    China menyumbang setengah daripada permintaan dunia untuk arang batu dan hampir separuh daripada pengeluarannya. Tetapi negara ini beralih kepada sumber tenaga yang lebih hijau untuk melawan pencemaran asap dan membalikkan semula kerosakan alam sekitar akibat perlombongan arang batu.

    Kerajaan tempatan mengatakan bahawa mereka me-rancang untuk menjadikan Mentougou menjadi taman eko, dengan ‘pergunungan hijau, perairan biru dan kawasan pelancongan merah,’ yang menonjolkan peranan bandar arang batu dalam membantu parti komunis.

    Laluan kereta api bawah tanah Beijing dipanjangkan untuk sampai ke kawasan ini dengan harapan ia akan membawa ramai pelancong.

    Tetapi setakat ini, tiada hotel atau tandas awam yang mencukupi untuk memenuhi keperluan para pelawat. Percubaan awal untuk menukarkan ladang-ladang tempatan menjadi hotel-hotel juga gagal.

    “Ekonomi Mentougou berada dalam keadaan kucar-kacir,” kata Dong Xiaoyuan dari Institut Kajian Kemiskinan Universiti Peking.

    “Pegawai pertama cuba memperkenalkan penggembalaan kambing, tetapi ia akhirnya merosakkan persekitaran yang telah merosot. Pelan yang tidak teratur hanya mendorong lebih ramai orang ke dalam kemiskinan,” katanya.  – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda