Monday, March 17, 2025
26 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Lori durian tular: Pengangkutan komoditi dibenarkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Susulan gambar-gambar dan mesej-mesej ditularkan melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini mengenai pengangkutan buah durian yang dipercayai dibawa masuk dari Malaysia oleh operator pengangkutan berdaftar di Negara Brunei Darussalam dan seterusnya memunggah buah itu di Pasar Pelbagai Barangan Gadong, Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini memaklumkan bahawa pengangkutan seumpamanya dibenarkan.

Menurut kenyataan dikeluarkan di sini hari ini, pengangkutan barangan makanan dan komoditi lain termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran adalah dibenarkan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Ia adalah salah satu usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mendukung dan membantu sektor perniagaan dan dalam masa yang sama, memelihara keselamatan dan kesejahteraan awam dengan mematuhi protokol kesihatan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Para operator pengangkutan yang dimaksudkan di atas adalah syarikat-syarikat perniagaan dan pengangkutan yang telah diberikan kebenaran untuk keluar negara mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan bagi mengangkut dan menghantar barangan import dan eksport.

Syarat-syarat itu termasuklah mendapat suntikan lengkap vaksin COVID-19, perlu menjalani ujian swab RT-PCR COVID-19 se-tiap dua minggu dan mempunyai keputusan negatif.

Lori mengangkut durian dan memunggahnya di Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang ditularkan di media sosial, adalah dibenarkan dengan syarat-syarat ditetapkan. – Gambar WhatsApp

Sebagai tambahan, petugas operator pengangkutan juga akan diperlukan untuk menjalani ujian ART.

Ujian ini adalah mandatori bagi semua para operator pengangkutan yang dikehendaki untuk mendapatkan ujian COVID-19 negatif sebelum memasuki Negara Brunei Darussalam, yang mana ianya akan dilaksanakan sendiri oleh operator-operator atau individu berkenaan dan disaksikan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan yang ditempatkan di pos-pos kawalan.

Mereka juga perlu menggunakan kenderaan komersil yang bersesuaian dan berdaftar di Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Selain itu, mereka perlu mempunyai permit import komoditi yang dikeluarkan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dan atau pendaftaran ejen kastam yang sah, mengangkut barangan secara terus dari atau ke tempat penghantaran yang ditentukan (Point-to-Point) di Sabah atau Sarawak, dan seterusnya ke pusat operasi ataupun gudang syarikat tersebut, seperti yang disenaraikan dalam Job Order Sheet tanpa membuat sebarang perhentian atau transit.

Para operator pengangkutan ini juga dikehendaki menggunakan Personal Protection Equipment (PPE) semasa mengendalikan pemunggahan barangan dan mengikut had masa yang telah ditetapkan bagi setiap perjalanan dan kembali ke negara ini pada hari yang sama.

Pihak berkuasa Negara Brunei Darussalam tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana syarikat atau para operator pengangkutan yang didapati melanggar atau enggan mematuhi mana-mana peraturan atau garis panduan yang telah dikeluarkan dan dikuatkuasakan, dengan dikenakan denda di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda