Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lumba kereta Brunei sekitar tahun 1970-an

    Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

    BERSEMPENA menyambut dan meraikan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 15 Julai 1970, satu perlumbaan kereta telah diadakan buat pertama kalinya di Brunei yang bertempat di Lapangan Terbang Lama Berakas.

    Perlumbaan tersebut telah disertai oleh peserta-peserta dari dalam dan luar negara. Wakil peserta negara telah disertai oleh pelumba kereta yang tidak asing lagi pada ketika itu seperti Haji Shamsuddien Ideris, Sures Janadanan dan banyak lagi. Manakala negara luar yang menyertainya adalah peserta-peserta dari Singapura, Malaysia, Hong Kong, Filipina dan Macau.

    Antara kereta-kereta yang dipertandingkan pada ketika itu ialah kereta jenis model lama seperti Toyota 120Y, Nissan Sunny, Ford, Fiat, Austin Mini, Singer, Trumph, Honda Morris, Volkswagen dan banyak lagi.

    Kawasan perlumbaan tersebut dipenuhi dengan orang ramai yang meminati sukan perlumbaan kereta dengan tidak mengendahkan cuaca panas dan hanya menggunakan payung jenis kertas untuk melindungi diri daripada terik panas matahari. Pada masa itu gerai jualan makanan ringan dan minuman sejuk belum ada lagi.

    Seperti yang terdapat di dalam gambar yang disediakan penulis ini, kebanyakan penonton atau pengunjung yang berada di sana pada ketika itu terdiri daripada belia-belia remaja. Golongan kanak-kanak juga tidak ketinggalan sama untuk menyaksikan perlumbaan itu.

    Perlumbaan kereta tersebut telah dianjurkan oleh Persatuan Club Brunei Automobile. Namun pada masa ini, persatuan tersebut sudah jarang didengar, begitu juga kepada ahli-ahlinya. Hanya Haji Shamsuddien Ideris yang masih aktif memandu kereta jenis lama hinggalah sekarang, seorang anak tempatan yang sangat berpengalaman dalam sukan lumba kereta.

    Mereka yang tidak berkesempatan menonton perlumbaan kereta ketika itu, mereka hanya mendengar aksi perlumbaan dan kehebatan pelumba anak-anak tempatan tersebut melalui ulasan siaran Radio Brunei. Penyampai ulasan Radio Brunei pada ketika itu ialah Awang Bahmin bin Hamdan, seorang juruhebah di Radio Brunei yang dapat didengar bagi kepuasan hati peminat-peminat lumba kereta.

    Haji Shamsuddien Ideris, salah seorang anak tempatan yang sangat meminati sukan lumba kereta dari dahulu sehinggalah sekarang.
    Haji Shamsuddien Ideris, salah seorang anak tempatan yang sangat meminati sukan lumba kereta dari dahulu sehinggalah sekarang.
    Antara kereta-kereta model lama yang digunakan pada perlumbaan tersebut.
    Antara kereta-kereta model lama yang digunakan pada perlumbaan tersebut.
    Sebelum perlawanan dimulakan, peserta-peserta terlebih dahulu diperkenalkan kepada penonton-penonton yang hadir menyaksikan perlumbaan kereta itu.
    Sebelum perlawanan dimulakan, peserta-peserta terlebih dahulu diperkenalkan kepada penonton-penonton yang hadir menyaksikan perlumbaan kereta itu.
    Haji Shamsuddien Ideris menerima piala kemenangannya bersama seorang rakannya di perlumbaan itu.
    Haji Shamsuddien Ideris menerima piala kemenangannya bersama seorang rakannya di perlumbaan itu.
    Antara peserta-peserta tempatan yang kelihatan ceria semasa acara perlumbaan kereta pada masa itu setelah meraih kemenangan.
    Antara peserta-peserta tempatan yang kelihatan ceria semasa acara perlumbaan kereta pada masa itu setelah meraih kemenangan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda