Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah dengar rayuan berhubung Titah Addendum pada 6 Januari

    KUALA LUMPUR, 9 DIS – Mahkamah Rayuan telah menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum.

    Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara meminta semua pihak menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat subjudis.

    “Ini memandangkan rayuan dan notis usul tersebut masih belum diputuskan oleh mahkamah,” menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

    Rayuan Najib adalah berkaitan cabarannya terhadap Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah.

    Pada 3 Julai lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman dan beliau kemudian merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

    Najib, 71, kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – Bernama

    Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 6 Disember. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda