SEOUL, 1 APRIL – Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan akan mengumumkan keputusan berhubung pendakwaan Presiden Yoon Suk Yeol berkaitan percubaan singkatnya melaksanakan undang-undang tentera, pada pukul 11 pagi Jumaat ini.
Keputusan itu akan diumumkan daripada mahkamah dan siaran secara langsung dibenarkan, selain kehadiran orang awam, lapor agensi berita Yonhap yang memetik notis dikeluarkan mahkamah kepada pihak akhbar, hari ini.
Yoon telah didakwa oleh Parlimen atas pertuduhan melanggar Perlembagaan dan undang-undang melalui pelaksanaan undang-undang tentera dalam masa singkat pada 3 Disember lepas.
Sepanjang perbicaraan, Yoon didakwa mengerahkan tentera ke Parlimen bagi menghalang penggubal undang-undang daripada membatalkan dekri berkenaan dalam tempoh enam jam ia berkuat kuasa serta mengarahkan penahanan ahli politik terkemuka, antara lain.
Bagaimanapun, Yoon menafikan sebarang salah laku dan menegaskan bahawa arahan itu bertujuan memberi amaran kepada parti pembangkang utama yang didakwanya menyalahgunakan kuasa legislatif.
Menurut Perlembagaan, sekurang-kurangnya enam daripada lapan hakim diperlukan untuk menyokong usul pendakwaan. Jika usul itu diluluskan, Yoon akan disingkirkan daripada jawatan presiden. Jika ditolak, beliau akan kembali berkhidmat sehingga tamat penggalnya pada Mei 2027.
Selain perbicaraan pendakwaan yang telah berakhir dengan sesi pendengaran terakhir pada 25 Februari, Yoon juga berdepan perbicaraan jenayah atas dakwaan menghasut pemberontakan melalui pelaksanaan undang-undang tentera. Beliau telah ditahan oleh penyiasat pada Januari dan ditahan di pusat tahanan sehingga 8 Mac, sebelum dibebaskan susulan keputusan mahkamah yang menyatakan penahanannya tidak sah.
Sementara itu, Yonhap memetik sumber melaporkan bahawa polis telah bersiap sedia dengan menempatkan kira-kira 14,000 anggota di Seoul pada Jumaat ini.
Ketika ini, polis diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga pada tahap tertinggi yang dikenali sebagai ‘Gapho’ dan menempatkan semua anggota yang tersedia dalam keadaan siap siaga. Polis juga akan menahan serta-merta mana-mana individu yang cuba menceroboh kawasan Mahkamah Perlembagaan dan meningkatkan kawalan keselamatan ke atas semua hakim mahkamah berkenaan.
Menurut pasukan guaman Yoon, keputusan masih belum dibuat sama ada beliau akan menghadiri sesi pengumuman keputusan itu pada Jumaat ini. – Bernama
