Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Sekitar 250 guru sekolah-sekolah ugama telah diraikan di Majlis Penutup Tadarus yang diadakan di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum AI-Islam, Mulaut pagi tadi.
Guru-guru yang diraikan telah menyertai Majlis Tadarus Al-Quran Bulan Ramadan bagi Guru-Guru Ugama Kawasan Brunei IV.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah A-Fatihah dipimpin oleh tetamu khas majlis iaitu Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil.
Kemudiannya diikuti dengan bacaan surah-surah lazim yang dipimpin oleh Awang Mohd Azwan bin Alawi dan seterusnya bacaan Tahlil dan Doa yang dipimpin oleh Awang Jaman bin Haji Murnap.
Manakala Doa Khatam dibacakan oleh Pengiran Haji Mohd Irwandy bin Pengiran Haji Matahir.
Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban dan diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada guru guru yang telah bersara oleh tetamu khas majlis. Acara diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis Tadarus Al-Quran Bulan Ramadan bagi Guru-Guru Ugama Kawasan Brunei IV berkenaan merupakan aktiviti tahunan kelolaan Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama (JKPPSU) Kawasan Brunei IV bagi mengimarah bulan Ramadan dengan amalan-amalan ibadah yang berkebajikan serta meraih pahala berlipat ganda dan keberkatan dalam bulan Ramadan selain mengeratkan silaturahim antara guru-guru ugama.
Semua di atas: Suasana semasa majlis berkenaan.