Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Sebagai acara tahunan sempena memperingati penubuhan Jabatan Penjara ke-71 tahun yang diraikan pada setiap 1 Mac, Jawatankuasa Keagamaan Jabatan Penjara telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Masjid As-Salam, Kampung Junjongan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir ialah setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, Pemangku Pengarah Penjara, Awang Bahrin bin Haji Mohammad Yassin, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara.
Pada majlis berkenaan, sembahyang Fardu Asar berjemaah, bacaan Surah Yasin dan Doa Kesyukuran serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pemangku Ketua Imam Masjid As-Salam, Kampung Junjongan, Awang Mohammad Azri bin Abdullah@Abdul Rahman.
Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan wakaf kepada Awang Mohammad Azri.