Friday, October 25, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis rai 882 graduan PB

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Setelah mengikuti pengajian selama tiga tahun dipenuhi dengan cabaran dan kejayaannya tersendiri, seramai 882 graduan Kelas 2024 telah diraikan dan menerima sijil diploma mereka di Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei (PB) ke-10 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas (ICC), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil diploma kepada para graduan pada sesi pagi ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani selaku Pengerusi Lembaga Pengelola PB; ahli-ahli Majlis Lembaga Pengelola PB dan para penaja anugerah.

    Bagi memberkati majlis, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran iaitu Surah Az-Zumar bermula dari ayat 49 hingga ayat 52 telah dibacakan oleh graduan dari Program Diploma Tahap 5 dalam Media Digital, Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, PB, Awang Mohammad Akmal Hadif bin Mohd Shah @ Mohd Latif Hadi; dan inti sari ayat dibacakan oleh Awang Muhammad Gabriel Mateen bin Abdullah Yong @ Gabriel Yong Chen Wei, yang merupakan seorang graduan daripada Program Diploma Tahap 5 dalam Sains Kesihatan, Sekolah Sains Kesihatan, PB.

    Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Kerja Majlis Konvokesyen PB ke-10.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda menyempurnakan penyampaian sijil pada sesi petang. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Acara kemuncak majlis menyaksikan penyampaian sijil-sijil Diploma Tahap 5 oleh Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Kampung Belimbing Subok, Pengiran Mohammad Akbar bin Pengiran Haji Sabri.

    Sementara pada majlis konvokesyen pada sesi petang telah menyaksikan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyempurnakan penyampaian sijil diploma kepada graduan-graduan yang diraikan.

    Majlis Konvokesyen ke-10 PB juga akan mengadakan Majlis Anugerah Pelajar bagi graduan-graduan yang terpilih yang akan berlangsung pada 2 November nanti di Jerudong Park Ampitheatre. Anugerah-anugerah yang akan disampaikan pada majlis tersebut ialah Best Student Award; Academic Excellence Award; Enrichment Activities Excellence Award; Innovation Award; Chinese Ambassador Award yang ditaja oleh Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam; dan Staff Excellence Award yang merupakan satu kategori anugerah terbaharu.

    Para graduan yang diraikan berjaya menamatkan program pengajian masing-masing yang ditawarkan oleh sekolah-sekolah di bawah PB iaitu Sekolah Perdagangan, Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Sekolah Sains Kesihatan dan kohort graduan pertama dari Sekolah Petrokimia. Diploma Tahap 5 berkenaan diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan melalui Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK).

    Majlis konvokesyen pada tahun ini telah dibahagikan kepada sesi pagi dan petang di mana seramai 882 graduan iaitu 388 graduan lelaki dan 494 graduan perempuan telah menerima sijil-sijil Diploma Tahap 5.

    Daripada jumlah tersebut, seramai 186 graduan daripada Program Perniagaan, 150 graduan daripada Program Teknologi Maklumat dan Komunikasi, 185 graduan dari pada Program Sains dan Kejuruteraan, 188 orang daripada Program Sains Kesihatan, dan 173 graduan lagi daripada Diploma Tahap 5 di bawah Program Petrokimia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda