Wednesday, September 18, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis rai pencapaian PEKERUPA dan KB Bull Brothers

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 11 SEPT – Satu majlis Doa Kesyukuran dan penyampaian sijil telah diadakan di Lagun Panaga bagi memperingati beberapa pencapaian yang telah dicapai oleh penghulu mukim, ketua kampung dan Persatuan Ketua Rumah Panjang (PEKERUPA) di Daerah Belait, serta pasukan tarik kalat KB Bull Brothers yang berlangsung pada 8 September lalu.

    Hadir selaku tetamu kehormat untuk menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli PEKERUPA serta anugerah dan sijil khas kepada ahli KB Bull Brothers ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat, Haji Mohd Salleh bin Haji Othman yang disambut oleh ketua kampung Panaga C dan pengerusi majlis, Awang Khairul Abidin bin Mohd Yassin.

    Dalam ucapan perasmiannya, Awang Khairul Abidin menjelaskan bahawa majlis itu diadakan bagi meraikan kejayaan yang dicapai oleh kedua-dua kumpulan itu.

    “Pertama sekali, kami berpeluang untuk meraikan kejayaan persembahan malam yang dianjurkan oleh PEKERUPA yang telah diadakan pada 26 Ogos lalu di pentas Tudung Saji sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78,” katanya.

    Satu lagi peristiwa bersejarah yang diraikan dalam majlis itu ialah kejayaan yang dicapai oleh pasukan tarik kalat KB Bull Brothers yang menjuarai pertandingan tarik kalat khas yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pada 4 Ogos lalu.

    “Kemenangan terbaharu itu menandakan kemenangan ketiga berturut-turut bagi KB Bull Brothers, yang dicapai hasil inspirasi oleh golongan belia dan bimbingan daripada ahli veteran pasukan itu,” katanya.

    Awang Khairul Abidin menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Awang Khairul Abidin bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda