Pelakon veteran, Mak Wan Latah tidak menolak kemungkinan beberapa kontroversi lalu menjadi punca tidak mendapat tawaran berlakon hampir setahun lalu.
Dalam nada sebak, Mak Wan atau nama sebenarnya, Halimatussa’diah Mohd Daud, 62, berkata dia pernah merayu kepada pihak produksi untuk memberikannya peluang pekerjaan, namun ditolak atas pelbagai alasan.
“Buat masa ini, saya tidak buat apa-apa, sudah lama tidak menjalani penggambaran drama. Saya tidak tahu apa alasan, cuma mungkin ada kaitan dengan kontroversi lalu.
“Apa yang berlalu biarlah berlalu. saya tidak mahu ingat lagi. Saya kena bina semula hidup walaupun akaun bank pun tinggal kosong.
“Apa yang ada dalam fikiran saya tawaran berlakon kerana saya perlukan duit untuk bayar rumah, kereta dan membeli ubat-ubatan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P19-C-paper-web-mstar_05082023.jpg)
“Saya pernah bertanya peluang tawaran berlakon, namun jawapan yang diberikan pihak produksi adalah pilihan pelakon ditentukan stesen televisyen (TV) dan jumlah pengikut media sosial,” katanya kepada BH Online.
Tambah pelakon drama Kekasihku Seru ini, dia juga kesal wujud pilih kasih apabila wajah pelakon veteran sama menghiasi kaca TV.
“Saya sudah 24 tahun berlakon, tetapi bila ditanya, alasan stesen TV minta nak tengok media sosial.
“Mereka hanya ambil nama besar sahaja. Saya bukannya dengki, tetapi apa salahnya berkongsi rezeki.
“Ini tidak, balik-balik wajah sama. Apa jadi dengan kami yang tiada peluang pekerjaan ini. Dapat berlakon satu episod pun saya sudah bersyukur,” luahnya.
Justeru, untuk meneruskan kehidupan, Mak Wan berkata, dia kini berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual barangan makanan. – Agensi