Saturday, September 7, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makan malam rai Angkatan Tentera Diraja Thailand

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Resepsi Makan Malam bagi meraikan Hari Angkatan Bersenjata Diraja Thailand yang berlangsung di Tarindak D’Seni di ibu negara, malam kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

    Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai dalam ucapannya menekankan selepas dua tahun tiada keraian akibat wabak, Pejabat Atase Pertahanan berbesar hati kerana dapat menganjurkan sambutan berkenaan sekali lagi untuk memperingati acara yang sangat penting.

    Hari Angkatan Bersenjata Diraja Thailand diraikan setiap tahun pada 18 Januari bagi memperingati keberanian dan kepimpinan Raja Naresuan yang memperjuangkan kebebasan dan perpaduan kerajaan Thailand lebih 400 tahun yang lalu, katanya.

    “Dengan peredaran masa, peranan Angkatan Bersenjata Diraja Thailand telah berkembang tetapi peranan utamanya masih kekal melindungi kedaulatan dan keutuhan wilayah negara serta menjaga sistem beraja,” jelasnya.

    Tetamu kehormat majlis bersama jemputan yang hadir semasa menyanyikan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara.

    Antara yang hadir pada majlis berkenaan, baru-baru ini.

    Selain daripada peranan tradisional, Angkatan Tentera Diraja Thailand juga menyokong agensi berkaitan dalam memastikan ketenteraman awam, mempromosikan program pembangunan sosial, menghulurkan bantuan menyelamat dan bantuan semasa bencana, serta memerangi ancaman bukan tradisional seperti pemerdagangan dan keganasan siber.

    Menyentuh mengenai hubungan pertahanan Thailand dan Brunei, Puan Yang Terutama menegaskan hubungan erat sekian lama terus diperkukuhkan melalui pertukaran yang kerap antara kedua-dua angkatan tentera.

    “Pertukaran terbaharu ialah pada Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand, Jeneral Chalermpol Srisawasdi ke Brunei pada Ogos tahun lalu. Kami juga tidak sabar-sabar untuk mengalu-alukan kedatangan Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi ke Thailand pada bulan hadapan.

    “Penglibatan penting dalam hubungan pertahanan dua hala adalah dalam pertukaran pendidikan ketenteraan. Pada masa ini, kita mempunyai seorang pegawai tentera Thailand di akademi pertahanan dan tiga pegawai yang belajar di institut latihan di sini.

    “Sementara itu, dua pegawai tentera Brunei kini sedang mengikuti Kursus Maktab Turus Tentera dan Sekolah Pegawai Skuadron Thailand serta seorang lagi pegawai yang akan mengikuti Maktab Turus Tentera Laut Diraja Thailand bulan depan.

    “Interaksi meluas ini berfungsi untuk memupuk persefahaman yang baik, mengukuhkan persahabatan antara kedua-dua negara serta membina kapasiti dalam menghadapi cabaran bersama,” tambahnya.

    Menurutnya, Thailand kekal komited meningkatkan hubungan pertahanan dua hala dengan Negara Brunei Darussalam dan akan bekerjasama rapat bagi mengukuhkan kerjasama sedia ada seperti pertukaran pendidikan serta meneroka bidang kerjasama baharu yang lain seperti pertukaran teknologi pertahanan.

    Terdahulu, majlis resepsi dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan diakhiri dengan upacara memotong kek bersempena dengan Hari Angkatan Tentera Diraja Thailand.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda