Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Makan semberana boleh merana

    Oleh Raz AS

    Ikan merupakan sumber makanan harian yang sangat digemari oleh masyarakat kita di negara ini, lebih-lebih lagi dengan sejarah asal-usul kita orang Brunei.

    Beberapa kurun yang lalu, penempatan terawal masyarakat Brunei adalah perkampungan di atas air yang masih kekal wujud sehingga ke hari ini, yang lebih dikenali sebagai Kampong Ayer.

    Sedikit perkongsian, Kampong Ayer telah diberikan nama julukan sebagai ‘Venice of the East’ atau ‘Venice di Timur’ oleh seorang cendekiawan dari Itali, Antonio Pigafetta, semasa pengembaraannya bersama Ferdinand Magellan pada abad ke-16 Masihi.

    Sebagai ‘orang laut’ antara sumber pencarian utama nenek moyang kita adalah menangkap ikan atau sebagai nelayan. Jadi boleh dikatakan gemar memakan ikan memang sudah tercatat dalam DNA kita sebagai orang Brunei.

    Ikan sering dikaitkan sebagai makanan sihat. Bukan sahaja ikan mempunyai kandungan lemak yang rendah dan protein yang tinggi, ikan juga kaya dengan kalsium, fosforus, Omega-3 dan vitamin seperti vitamin D dan B2, serta kandungan mineral seperti zat besi, magnesium, potasium dan lain-lain lagi.

    Bukan sahaja ikan mempunyai kandungan lemak yang rendah dan protein yang tinggi, ikan juga kaya dengan kalsium, fosforus, Omega-3 dan vitamin.
    Masak ikan dengan sempurna bagi membunuh parasit yang berkemungkinan ada pada ikan tersebut.

    Pakar daripada Persatuan Jantung Amerika menyarankan untuk memakan ikan sekurang-kurangnya dua kali seminggu sebagai sebahagian daripada pemakanan sihat yang boleh membantu merendahkan tekanan darah serta mengurangkan risiko serangan jantung atau strok.

    Walau bagaimanapun, di sebalik faedah memakan ikan pada kesihatan, ramai yang tidak mengetahui bahawa memakan sesetengah jenis ikan boleh membawa mudarat kepada kesihatan tubuh badan, terutama ikan yang bersaiz besar.

    Sesetengah ikan tidak kiralah ikan yang diternak atau ditangkap di kawasan perairan terbuka yang tercemar mengandungi kandungan toksin berbahaya seperti merkuri dan polychlorinated biphenals (PCB), yang boleh menyebabkan kesan mudarat seperti keracunan, kerosakan pada hati, buah pinggang, sistem saraf dan kanser.

    Merkuri merupakan bahan mineral yang wujud di alam semula jadi. Dengan perkembangan industri di seluruh dunia, ribuan tan merkuri telah dilepaskan melalui pencemaran dan bahan buangan. Merkuri ini kemudiannya akan berubah menjadi methylmercury melalui proses semula jadi, iaitu bahan beracun yang memudaratkan.

    Methylmercury boleh mencemari sungai-sungai dan lautan dan toksin ini berada pada daging ikan yang kita makan. Melalui rantaian makanan, kandungan merkuri dalam badan ikan akan bertambah, setiap ikan yang memakan organisme atau ikan yang lebih kecil daripadanya, kandungan merkurinya akan berpindah kepadanya. Ini bermakna semakin besar ikan tersebut semakin tinggi kandungan merkuri dalam tubuhnya.

    Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) melaporkan bahawa golongan yang paling sensitif terhadap merkuri adalah golongan ibu-ibu mengandung atau menyusukan anak, kanak-kanak berusia di bawah enam tahun, orang-orang yang mempunyai masalah buah pinggang, serta mereka yang mempunyai respons imun yang sangat sensitif.

    Methylmercury juga berbahaya kepada anak damit dalam kandungan serta yang baru lahir.

    Ia boleh mempengaruhi perkembangan otak serta sistem saraf mereka yang lebih sensitif terhadap bahan toksin ini berbanding orang dewasa.

    Menurut kajian, antara ikan-ikan yang mengandungi kandungan methylmercury yang tinggi adalah seperti ikan yu, mersuji, tuna, alu-alu, tenggiri dan lain-lain.

    Selain daripada bahaya toksin, sesetengah ikan juga mengandungi cacing parasit meski ditangkap di kawasan yang jauh daripada pencemaran. Memakan ikan yang mengandungi parasit boleh menyebabkan sakit perut, cirit birit, muntah-muntah dan barat badan susut.

    Meskipun begitu, kerana faedah memakan ikan kepada kesihatan kita janganlah mengelakkan diri daripada memakannya sama sekali.

    Antara saranan yang telah diberikan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS untuk mengelakkan daripada mudarat kepada kesihatan, kita haruslah mengenal pasti sumber datangnya ikan tersebut, iaitu jauh daripada kawasan yang tercemar. Mengelakkan memakan ikan-ikan besar dan dikenal pasti sebagai spesies yang mengandungi merkuri yang tinggi. Serta mengehadkan memakan ikan atau makanan laut kepada dua kali seminggu sahaja. Sementara itu, ikan haruslah dimasak dengan sempurna untuk membunuh parasit dan elakkan daripada memakan ikan mentah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...