Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makan yang halal, makan ikut cara Islam

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Dewasa ini kepentingan kesihatan semakin diambil berat oleh pelbagai pihak memandangkan timbulnya pelbagai penyakit kronik yang antaranya boleh membawa pada kematian. Banyak inisiatif yang dibuat bagi menjamin kesihatan fizikal seperti pengambilan makanan secara teratur dan melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam dan yang seumpamanya. Selain daripada itu, memakan makanan yang halal serta cara pengambilan makanan yang betul menurut Islam juga merupakan antara faktor yang membawa kepada kesihatan tubuh badan.

    Kewajipan mengambil makanan halal dan baik

    Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya memakan makanan yang halal dan baik sebagaimana firman Allah SWT yang tafsirnya, “Wahai manusia, makanlah (makanan) dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.” (Surah Al-Baqarah: 168)

    Perkataan (lagi baik) bererti enak atau lazat. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Mencari yang halal itu adalah wajib ke atas setiap muslim.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)

    Hikmah mengambil makanan yang halal lagi baik

    Kewajipan untuk memakan makanan halal bukanlah disebabkan ia berupa perintah Allah SWT semata-mata, akan tetapi terkandung di dalam perintah tersebut banyak hikmah. Antaranya:

    1. Selamat Daripada Api Neraka

    Memakan makanan yang halal merupakan antara perkara yang menyelamatkan umat Islam daripada api neraka kerana dengan memakan makanan yang haram ditakuti boleh mengakibatkan balasan api neraka berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Tiap-tiap daging dan darah yang tumbuh dari harta atau makanan yang haram, maka neraka adalah lebih utama baginya.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)

    2. Doa Dimakbulkan Allah SWT

    Memakan makanan yang halal menjadi antara penyebab doa dimakbulkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW kepada Sa‘ad bin Abu Waqash Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya: “Wahai Sa‘ad! Baguskanlah makanan engkau, nescaya engkau adalah (orang yang) diperkenankan doanya.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)

    3. Menambah Cahaya Dalam Hati Dan Melembutkannya

    ‘Abdullah bin ‘Alwi al-Haddad al-Hadhramiyyi asy-Syafi‘i Rahimahullah ada menyebutkan bahawa memakan yang halal itu akan menambah cahaya kepada hati serta melembutkannya.

    Selain itu, ia akan menimbulkan ke-gentaran dan kekhusyukan terhadap kebesaran Allah SWT, mencergaskan seluruh anggota badan untuk beribadat dan membuat taat, zuhud terhadap dunia dan suka terhadap hari-hari akhirat.

    4. Menjadi Penawar Atau Ubat

    Hikmah memakan makanan yang halal juga antaranya menjadi penawar atau ubat kerana Imam Syafi‘i Rahimahullah pernah berkata kepada Imam Ahmad Rahimahullah:

    “Wahai Ahmad! Adapun aku makan banyak, kerana aku tahu makananmu adalah dari yang halal. Dan sesungguhnya engkau juga seorang pemurah, makanan orang pemurah adalah ubat, sedang makanan orang bakhil pula racun atau penyakit. Aku tidak makan (hanya) untuk kenyang, tetapi aku makan (juga) untuk berubat dengan makananmu itu, wahai Ahmad! Supaya aku sembuh (sihat), kerana makananmu dari yang halal…….

    Melalui ungkapan Imam Syafi‘i Rahimahullah menunjukkan bahawa makanan yang halal itu adalah ubat, sementara makanan yang haram itu pula adalah penyakit.

    Etika makan dan minum menurut Islam

    Selain memakan makanan yang halal lagi baik, Islam mengajar dan memberikan panduan kepada umatnya dalam apa saja perkara yang berkaitan dengan perbuatan dan amalan sehari-hari. Umpamanya etika ketika makan dan minum, Islam tidak terlepas pandang mengenainya, bahkan kebanyakannya dapat diambil daripada perbuatan dan teguran Rasulullah SAW.

    Antara etika yang digariskan oleh syara‘ dalam perkara makan dan minum ialah:

    1. Tidak berlebihan dalam pengambilan makanan dan minuman sebagaimana firman Allah SWT yang tafsirnya, “Serta makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A‘raf: 31)

    Allah SWT melarang hamba-hambaNya untuk berlebih-lebihan atau melampaui batas ketika makan dan minum. Apa yang dituntut adalah makan dan minum dengan sekadarnya.

    2. Membasuh kedua tangan sebelum dan selepas makan untuk memastikan keduanya bersih dari kotoran.

    3. Apabila makanan sudah dihidang dan sedia untuk makan, sunat membaca doa yang dibaca oleh Rasulullah SAW yang maksudnya, “Ya Allah, berkatilah bagi kami pada apa yang Engkau kurniakan kepada kami, dan jauhkan kami daripada azab (api) neraka.”

    4. Memulakan makan dan minum dengan membaca, “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.”

    Apabila seseorang makan atau minum tanpa menyebut ucapan Basmalah, maka syaitan akan turut sama makan atau minum bersamanya. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu, beliau mendengar Nabi SAW bersabda yang maksudnya:

    “Apabila seseorang masuk ke rumahnya lalu dia mengingati Allah ‘Azza wa Jalla ketika dia masuk rumah dan ketika makan, syaitan berkata (kepada suku-sakatnya): “Tidak ada tempat bermalam dan makan malam bagi kamu”.

    Dan jika dia masuk tanpa mengingati Allah ketika dia masuk, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat untuk bermalam”. Jika dia tidak mengingati Allah ketika dia makan, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat bermalam dan makan malam.” (Hadis riwayat Muslim)

    Walau bagaimanapun jika terlupa membacanya pada permulaan waktu makan atau minum, maka memadailah membacanya pada pertengahan makan atau minum dengan lafaz, “Dengan nama Allah pada awalnya dan pada penghujungnya.”

    Perkara ini diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabda Baginda yang maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu makan maka sebutlah nama Allah SWT pada awalnya. Apabila dia terlupa menyebut nama Allah SWT pada awalnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    5. Makan dan minum dengan menggunakan tangan kanan sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Umar bin Abu Salamah Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya: “Wahai budak, sebutlah nama Allah SWT (ucapan Basmalah) dan makanlah dengan tangan kananmu….” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    6. Sunat makan menggunakan tiga jari mengikut sunnah Rasulullah SAW.

    7. Tidak menghembuskan nafas di dalam cawan atau gelas minuman ketika minum. Diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Apabila seseorang daripada kamu minum maka janganlah dia bernafas di dalam bejana.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    8. Mendahulukan memakan buah-buahan sebelum makanan yang lain.

    Di dalam Al-Quran, Allah SWT mendahulukan menyebut buah-buahan sebagaimana firmanNya yang tafsirnya, “Dan (juga dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih.” (Surah al-Waqi‘ah: Ayat 20)

    Kemudian barulah Allah SWT menyebut makanan daging sebagaimana firmanNya yang tafsirnya: “Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.” (Surah al-Waqi‘ah: Ayat 21)

    Para ulama menyebutkan bahawa hendaklah didahulukan dengan memakan buah-buahan kemudian daging dan seterusnya manisan atau pemanis mulut.

    9. Tidak mencela makanan yang halal yang dirasakan tidak sedap atau tidak menepati cita rasa sebagaimana yang patut dicontohi dari Rasulullah SAW.

    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya: “Aku tidak pernah sekali-kali melihat Rasulullah SAW mencela makanan. Sesungguhnya apabila Baginda menyukainya, Baginda memakannya dan apabila Baginda tidak menyukainya Baginda tinggalkannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    10. Makruh makan bersandar atau makan berbaring.

    11. Tidak berludah ketika sedang makan. Selain larangan syarak, berludah ketika sedang makan jelas tidak sopan apalagi jika makan bersama orang lain.

    12. Tidak meniup makanan atau minuman.

    13. Sunat minum secara tiga kali nafas. Pada tegukan yang pertama membaca Basmalah sementara membaca alhamdulillah pada tegukan yang terakhir.

    14. Menghabiskan sisa makanan sama ada di jari mahupun di pinggan. Ini kerana orang tidak mengetahui di mana keberkatan makanan yang dimakan, iaitu mungkin saja pada sisa terakhir makanan itu.

    Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka hendaklah menjilat jari-jarinya. Maka sesungguhnya dia tidak mengetahui di mana (pada makanan tersebut) letaknya keberkatan.” (Hadis riwayat Muslim)

    15. Mengucap syukur ke hadrat Allah SWT atas kurniaan rezeki yang dilimpahkannya kepada hambaNya.

    Terdapat banyak doa yang boleh diamalkan ketika selesai makan, antaranya yang bermaksud, “Segala pujian bagi Allah yang telah memberi kami makan dan minum dan menjadikan kami orang-orang Islam.”

    Kepentingan makanan halal tapi baik bukan hanya untuk kesihatan tubuh badan serta akal fikiran, bahkan yang lebih penting mempunyai hubungan yang rapat dengan penerimaan Allah SWT terhadap ibadat seseorang muslim. Amat-amatilah semula bahawa daging dan darah yang tumbuh dari makanan dan harta yang haram, api neraka lebih utama baginya.

    Oleh kerana itu, wajarlah setiap orang Islam prihatin terhadap makanan yang disuapnya adalah halal, berkhasiat serta tidak membahayakan serta seimbang menurut keperluan tubuh badan. Demikian itulah tuntutan dalam Islam termasuk etika ketika memakannya dalam keadaan bercakap dan sopan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda