Oleh Salawati Haji Yahya
TUTONG/KUALA BELAIT, 25 OGOS – Penutupan separuh jalan di lokasi berasingan di Daerah Tutong dan Belait akan bermula dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.
Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, lokasi pertama bagi penutupan sementara separuh jalan di Daerah Tutong akan berlaku di Lebuh raya Telisai-Lumut (hala Telisai) di kawasan berhampiran tiang lampu jalan CP14/18/A, bermula hari ini hingga 29 Ogos. Manakala itu, penutupan sementara di kawasan berhampiran tiang lampu jalan CP8/15/A pula akan bermula pada 29 hingga 31 Ogos.
Penutupan separuh jalan tersebut adalah bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan jalan raya dan pemasangan sub-soil drain dapat dilaksanakan.
Sementara itu, penutupan sementara sebahagian Jalan Bunga Raya di Kuala Belait yang dilaksanakan secara berfasa selama tiga bulan akan bermula pada 28 Ogos dari pukul 8 pagi.
Penutupan sementara itu adalah bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf kalbat di jalan berkenaan dapat dilaksanakan.
Sehubungan itu, jabatan itu menasihatkan kepada pengguna lebuh raya di lokasi yang berkenaan untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan had laju yang dibenarkan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.
Orang ramai boleh menghubungi pihak Jabatan melalui Talian Darussalam 123, Livechat Talian Darussalam 8333123 ataupun melalui e-mel pro@pwd.gov.bn untuk sebarang aduan.