Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Maksud tersirat seni ‘kawaii’ murakami

    BUSAN – Artis kontemporari terkemuka Jepun, Takashi Murakami tiba di bandar pelabuhan selatan Busan, Korea Selatan untuk pameran pertamanya di negara itu dalam tempoh 10 tahun baru-baru ini.

    Diilhamkan oleh subkultur ‘otaku’ Jepun, seninya mungkin kelihatan cerah dan ‘kawaii’ yang pada dasarnya bermakna comel dalam bahasa Jepun. Namun ia mempunyai maksud tersirat iaitu keagamaan berbanding apa yang dilihat oleh mata kasar.

    Otaku ialah perkataan Jepun yang merujuk kepada orang yang mempunyai minat obsesif dalam subjek tertentu seperti animasi, manga atau permainan. Murakami terkenal kerana membawa subbudaya Jepun ke persada seni global, mengaburkan sempadan tinggi dan rendah seni.

    Artis berusia 60 tahun itu naik ke pentas di Muzium Seni Busan dengan penutup kepala watak obor-obor bernama Kurage-bo pada sidang media baru-baru ini.

    Ketika bergambar, dia dengan senang hati menendang kaki sambil tersenyum, dengan kamera tak henti berklik untuk merakamkan aksinya dan mencetuskan gelak ketawa daripada wartawan akhbar.

    Takashi Murakami bergambar semasa sidang akhbar dengan memakai penutup kepala watak obor-obor di Muzium Seni Busan di Busan baru-baru ini. – ANN/Korean Herald
    Karya ‘Takashi Murakami: Murakami Zombie’ di Muzium Seni Busan di Busan. – ANN/Korean Herald
    Pemandangan karya “Takashi Murakami: Murakami Zombie” di Muzium Seni Busan di Busan. – ANN/Korean Herald
    Karya ‘727 Dragon’ oleh Takashi Murakami. –ANN/Korean Herald

    Watak obor-obor adalah daripada filem fantasi artis itu pada 2013, Jellyfish Eyes, filem pertamanya selepas gempa bumi berukuran 9 magnitud di Jepun yang meragut 16,000 nyawa pada 2011.

    Dalam Jellyfish Eyes, watak Kurage-bo berkawan dengan seorang budak lelaki yang kehilangan bapanya, tetapi bersikap ceria demi ibunya.

    Bencana alam yang dahsyat itu adalah ‘saat aha’ bagi artis dalam memahami mengapa manusia mencari agama.

    Dia pernah menjadi penganut agama baharu di Jepun, mengikut ibu bapanya semasa kecil, tetapi dia mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena ketika menginjak usia 20 tahun.

    Dia meninggalkan kumpulan agama itu kerana ragu-ragu tentangnya. Di Jepun, beberapa agama wujud – untuk agama Buddha sahaja, terdapat 500 arahat (orang mencapai nirwana), bermakna 500 tuhan dipercayai wujud, kata Murakami.

    “Tetapi saya sedar mengapa orang mencari tuhan. Apabila mereka sengsara dan tersesat dalam keadaan panik, orang ramai perlu mencari ketenangan. Saya menyedari bahawa itulah titik agama (daripada gempa bumi 2011).

    “Apabila bencana alam berlaku, awda tidak mempunyai rakan sejawatan untuk dipersalahkan,” katanya.

    Murakami berkata dia mendapat inspirasi untuk membuat filem itu apabila dia melihat seorang ibu memberitahu anaknya di televisyen bahawa bapa budak lelaki itu, mangsa bencana 2011, menjadi bintang. Ini adalah titik tolak artis itu ‘menyaksikan permulaan agama’.

    Pameran retrospektif artis Takashi Murakami: Murakami Zombie merangkumi 30 tahun kerjaya artis itu dengan kira-kira 160 karya daripada karya awal hingga yang terkini.

    Pameran itu merupakan sebahagian daripada siri Lee Ufan and His Friends, yang menunjukkan pameran bersiri artis yang dijemput oleh artis kontemporari terkenal Lee Ufan di Muzium Seni Busan di mana Space Lee Ufan ditubuhkan pada 2015 sebagai tambahan kepada muzium itu.

    Murakami terkenal kerana mengasaskan teori ‘Superflat’ yang dipengaruhi oleh anime kontemporari Jepun dan seni tradisional.

    Konsep ini menyerlahkan ‘keseimbangan’ seni visual Jepun, yang popular dilihat dalam karya bunga ikonik artis itu, watak Mr DOB dan Tan Tan Bo.

    Lukisan ‘727 Dragon’ oleh artis itu adalah sebahagian daripada koleksi yang dimiliki oleh bintang K-pop Korea, Kwon Ji-yong, juga dikenali sebagai G-Dragon daripada kumpulan lelaki Big Bang.

    Kwon dikenali sebagai pengumpul seni dan peminat artis Jepun. Lukisan itu menggabungkan Mr DOB, watak signatur Murakami yang diciptanya pada tahun 1993 dan mencetuskan gelombang lukisan tradisional Jepun.

    Lukisan lain, ‘Sparkle /Tan Tan Bo: Eternity’ yang menampilkan warna terang dan watak Tan Tan Bo sebagai raksasa jahat, turut dipamerkan.

    Mesej lukisan itu di sebalik luarannya yang cerah dan comel, mendorong penonton untuk berfikir tentang dunia yang kita diami.

    Pameran ini terdiri daripada empat bahagian: kecomelan, aneh, kesedihan dan enso.

    Bahagian kesedihan memaparkan karya terbaharu Murakami yang diilhamkan oleh zombi, termasuk arca terbaharunya ‘Murakami Zombie W/Pom Zombie’ yang nampaknya meningkatkan kesedaran tentang kesan bencana kuasa nuklear, isu yang telah lama diutarakan oleh artis itu.

    Pameran berlangsung sehingga 12 Mac tahun ini. – ANN/Korean Herald

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...