Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Malaysia benarkan Lynas import nadir bumi

    KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 24 OKT – Kerajaan Malaysia berkata hari ini ia akan membenarkan Lynas Rare Earth terus mengimport dan memproses nadir bumi sehingga Mac 2026, selepas pelombong Australia itu mencadangkan teknologi baharu untuk mengekstrak unsur radioaktif daripada sisa yang dihasilkannya.

    Kilang penapisan Lynas di Malaysia, yang pertama di luar China mengeluarkan mineral yang penting untuk pembuatan berteknologi tinggi, telah beroperasi di negeri Pahang sejak 2012.

    Tetapi syarikat itu telah terlibat dalam pertikaian mengenai radiasi daripada sisa terkumpul di kilang itu.

    Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata dua syarat untuk memperbaharui lesen Lynas telah dimansuhkan selepas syarikat itu mencadangkan cara untuk mengekstrak torium, unsur radioaktif, daripada nadir bumi mentah yang diimport dan daripada lebih 1 juta tan sisa yang berada di dalam kilangnya.

    Lembaga Perlesenan Tenaga Atom telah mengkaji cadangan Lynas dan mendapati ia boleh dilaksanakan, katanya.

    Chang berkata tindakan kerajaan itu bukan bermakna ia melembutkan pendiriannya.

    Beliau berkata beliau menganggapnya sebagai situasi menang-menang kerana ia ‘memenuhi keputusan kami yang tidak membenarkan pengumpulan berterusan sisa radioaktif’ di kilang Lynas.

    Jika berjaya, Chang berkata sisa buangan itu boleh dilupuskan dengan cepat dan torium itu boleh dikomersialkan dan dijual kepada loji nuklear di luar negara atau kepada industri lain.

    Lynas mesti memberikan satu peratus daripada pendapatan kasarnya kepada penyelidikan dan pembangunan, terutamanya dalam pengekstrakan torium, tambahnya. – AP

    Chang Lin Kang bercakap semasa sidang media di Kuala Lumpur, Malaysia kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...