Wednesday, September 11, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia kutuk sekeras-kerasnya serangan kejam Israel

    PUTRAJAYA, 11 OGOS – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tidak berperikemanusiaan oleh Israel ke atas Sekolah al-Tabin di Bandaraya Gaza kelmarin yang mengorbankan lebih 100 rakyat Palestin yang berlindung di situ.

    Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan serangan yang disengajakan terhadap sekolah digunakan oleh warga Palestin yang kehilangan tempat tinggal untuk berlindung bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia secara terang-terangan, tetapi juga merupakan jenayah berat terhadap kemanusiaan.

    Menurut Kementerian Luar, kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak, dan serangan itu juga mencederakan ramai yang lain dengan parah serta mungkin kehilangan nyawa kerana kekurangan bekalan perubatan sangat diperlukan.

    “Israel telah menunjukkan dengan jelas sekali lagi bahawa ia tidak mempunyai sebarang keinginan untuk keamanan.

    “Adalah tidak wajar bagi masyarakat antarabangsa untuk hanya berdiam diri apabila tentera pendudukan Israel terus membunuh wanita, kanak-kanak dan warga tua tanpa sebarang hukuman. Masyarakat antara-bangsa seharusnya lagi bertolak ansur dan menerima keangkuhan Israel,” menurut kenyataan itu.

    Kementerian Luar berkata janji kosong kerajaan Israel untuk mencapai gencatan senjata kekal dalam rundingan damai yang sedang berlangsung adalah tidak boleh dipercayai.

    Malaysia turut menyeru sekutu rejim Israel untuk memaksa Israel menghentikan segera pembunuhan rakyat Palestin yang tidak bersalah, dan berhenti menyediakan ‘alat’ kepada Israel untuk meneruskan genosid itu.

    “Tindakan segera, mendesak dan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) diperlukan untuk menguatkuasakan gencatan senjata kekal bagi membolehkan bantuan kemanusiaan mengalir tanpa halangan ke Palestin, dan memastikan rejim Zionis bertanggungjawab atas jenayah perang yang dilakukan,” katanya. – Bernama

    Rakyat Palestin menggunakan kereta untuk melarikan diri dari daerah kediaman Hamad dan sekitarnya di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza selepas menerima amaran daripada tentera Israel untuk mengosongkan kawasan itu, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda