PUTRAJAYA, 12 APRIL – Kerajaan sedang mengambil tindakan melalui media dan hubungan diplomatik dalam menangani tuntutan kumpulan Sulu, menerusi penubuhan satu Sekretariat Khas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, ini kerana kumpulan yang membuat tuntutan itu telah mengeluarkan pelbagai kenyataan yang tidak benar, memutar belit tafsiran sejarah dan memburukkan imej negara.
“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU), Kementerian Luar dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah mengambil tindakan untuk melancarkan laman sesawang rasmi Malaysia iaitu malaysia-sulucase.gov.my.
“Laman sesawang ini memberikan fakta yang betul dan sahih, di samping menangkis tohmahan kumpulan berkenaan, dan ia juga bagi membolehkan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengikuti perkembangan kes ini secara telus dan benar,” katanya semasa melancarkan laman sesawang berkenaan di Perdana Putra hari ini.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Azalina berkata laman sesawang itu akan sentiasa diperkemas dan ditambah maklumat, dokumen dan pelbagai lagi dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan kes tuntutan berkenaan.
Sementara itu, Fahmi berkata KKD memainkan peranan berkait aspek perancangan komunikasi dalam pembangunan laman sesawang itu. – Bernama